Anda di sini

Program IPGM sasar tingkat kualiti pendidikan luar bandar

Advertisement

Oleh W. Bolly Ongie //

KENANGAN: Dennis (empat kiri) dan John (lima kiri) merakamkan kenangan bersama pegawai Kementerian Pendidikan semasa ketibaan mereka di Long Jekitan.

PROGRAM Pendidikan Komuniti Penan yang dianjurkan oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Kampus Batu Lintang di Kuching, memberi fokus kepada nilai tambah profesion perguruan dan meningkatkan kualiti pendidikan di kawasan luar bandar.

Komitmen positif warga IPGM itu yang disokong oleh Kumpulan Syarikat Samling, selaku penaja dan kerjasama daripada Pejabat Pendidikan Daerah Baram, bermatlamat untuk membina dan mengamalkan pedagogi peribumi sekolah luar bandar.

Ia merupakan langkah yang bertetapan dengan usaha Kementerian Pendidikan dalam membina masyarakat Malaysia yang bersatu padu, adil dan saksama melalui pendidikan, demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Pendidikan Komuniti Penan di Dewan Serbaguna di Long Jekitan, Patah Baram baru-baru ini.

Majlis penutupan program tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Adat Bumiputera dan Penan) merangkap Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datuk John Sikie Tayai.

Menurut Dennis lagi, program kali ini telah membawa ramai penyelidik yang sudi, untuk menjalankan kajian mereka dan setelah kejayaan yang dicapai oleh Datuk Prof Dr Subahan Mohd Meeran dan anak didik beliau, Dr Abang Ismail Abang Julhi yang merupakan pensyarah cemerlang Jabatan Pendidikan Jasmani Kesihatan IPGM Batu Lintang dalam usaha meningkatkan pendidikan komuniti Penan di Sarawak.

“Kelangsungan kajian itu diteruskan oleh penyelidik-penyelidik yang lain dan kita berharap agar mereka mendapat data-data terkini untuk kemajuan kajian mereka.

“Kita juga berharap agar pihak sekolah dan komuniti Penan di Long Jekitan ini dapat memberi kerjasama sepanjang mereka menjalankan kajian di sini,” ujar Dennis lagi.

Dalam pada itu, Bahagian Pergigian Jabatan Kesihatan melalui wakil mereka di Unit Pergigian Miri dan Long Jekitan, turut turun padang membantu memberi khidmat rawatan pergigian dan kesihatan kepada komuniti di Long Jekitan ini.

Seramai 250 orang ibu bapa dan 200 orang murid bakal mendapat rawatan pergigian percuma sepanjang program berlangsung.

Hadir sama ialah Rektor IPGM, Kementerian Pendidikan Malaysia Sulaiman Wak serta Pengarah IPGM Kampus Batu Lintang Awang Hambali Awang Hamdan.

Advertisement