Anda di sini

Pimpinan UMNO diminta ke akar umbi perjelas pencapaian ekonomi

Advertisement

PEKAN: Pimpinan UMNO disaran agar turun ke akar umbi dan bertemu rakyat untuk menjelaskan mengenai kejayaan pencapaian ekonomi negara supaya rakyat lebih faham dan mensyukurinya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, walaupun negara berjaya mencatat kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak 6.4 peratus bagi suku kedua tahun ini, namun masih ada yang tidak memahami faedah pencapaian tersebut.

“Jika kita bandingkan dengan negara lain di ASEAN, Malaysia mencatatkan perkembangan ekonomi tertinggi di ASEAN untuk suku tahun kedua tahun ini sedangkan negara lain seperti Singapura, hanya mampu mencatatkan sebanyak 2.4 peratus dan Indonesia 5.1 peratus.

“Tetapi masih ada yang mempersoalkan apa makna pencapaian 6.4 peratus itu kepada mereka dan perkara inilah yang perlu dihuraikan kepada rakyat dan akar umbi,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Pekan di sini semalam.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Mohd Sharkar Shamsudin.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, apabila ekonomi negara berkembang, maka hasil negara semakin bertambah, ruang pekerjaan untuk rakyat juga lebih meluas terutama kepada anak-anak lepasan insitusi pengajian tinggi (IPT).

“Mereka dapat memilih pekerjaan sama ada sektor swasta, ataupun nak kerja dalam sektor kerajaan sebagai guru atau penjawat awam. Ini semua memerlukan keadaan ekonomi berkembang,” katanya.

Dalam masa yang sama, Najib berkata, rakyat perlu tahu dan sedar tidak ada negara lain yang dapat menyediakan pelbagai kemudahan untuk rakyat seperti yang dilakukan oleh kerajaan di negara ini.

“Yang jadi masalahnya apabila semua kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dianggap sebagai perkara biasa dan kelaziman.

“Saya berani mengatakan sistem kesihatan kita umpamanya jika dibandingkan dengan United Kingdom (UK), kita lebih baik daripada pelbagai aspek.

“Di UK, jika ingin melakukan pembedahan mereka perlu beratur, tetapi di Malaysia ia boleh dibuat dengan kadar yang segera.

“Saya nak tanya ada tak di negara lain, kalau sakit pergi hospital kerajaan, jumpa doktor kita hanya perlu bayar RM1, manakala jumpa doktor pakar hanya bayar RM5, boleh tanya puak pembangkang ada tak,” kata Najib. — Bernama

Advertisement