Anda di sini

Ketibaan jemaah haji Malaysia di Mekah dijangka berlipat ganda mulai Rabu

Advertisement

MEKAH: Ketibaan jemaah haji Malaysia di kota suci ini dijangka meningkat mulai Rabu ini apabila penerbangan sewa khas Tabung Haji (TH) mulai mendarat di Jeddah dan terus ke Mekah.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman ini juga berikutan kemasukan jemaah haji negara ke kota suci ini, yang sebelum ini mendarat di Madinah.

Kapal terbang sewa khas Tabung Haji yang terakhir mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammed bin Abddulaziz di Madinah adalah KT33, dan kapal terbang seterusnya akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah, katanya dalam sidang media di sini pada Ahad.

Syed Saleh berkata setakat ini sebanyak 27 buah kapal terbang sewa khas TH telah tiba di Tanah Suci dengan membawa 9,439 jemaah haji, dengan sejumlah besar iaitu 6,254 orang di Madinah dan 3,185 orang di Mekah.

Pada tahun ini, seramai 22,320 jemaah haji Malaysia akan mengerjakan rukun Islam kelima itu.

“Berbaki 37 buah kapal terbang lagi yang akan berlepas dari Malaysia,” katanya.

Syed Saleh berkata petugas haji seramai 478 orang termasuk 251 petugas kebajikan dan selebihnya perubatan dijangka sibuk mulai Rabu ini dengan kemasukan jumlah jemaah haji yang meningkat mendadak. — Bernama

Advertisement