Anda di sini

AMK mahu Presiden PAS tarik balik kenyataan Wan Azizah tidak berkebolehan

Advertisement

SHAH ALAM: Angkatan Muda Keadilan (AMK) semalam meminta Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik kenyataannya yang mendakwa Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak berkebolehan untuk menjadi menteri besar Selangor yang baharu.

Menurut Ketua AMK Nik Nazmi Nik Ahmad, kenyataan itu dilihat tidak mencerminkan semangat setia kawan dalam Pakatan Rakyat, apatah lagi ia daripada presiden sebuah parti komponen yang lain.

“AMK Malaysia percaya mana-mana pemimpin tidak terlepas daripada kemungkinan kelemahan dan ini seharusnya menjadikan mereka lebih demokratik dan tidak meminggirkan kepentingan untuk sama-sama berganding bahu dalam membuat keputusan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Katanya lagi, Presiden Parti Keadilan Rakyat Dr Wan Azizah telah memimpin PKR sejak 1999, dan pernah diangkat sebagai Ketua Pembangkang pada tahun 2008.

“Beliau telah mencipta sejarah membina gagasan parti politik pelbagai kaum paling berjaya dalam sejarah negara yang telah memberi peluang kepada begitu ramai wanita turut serta sebagai pemimpin di pelbagai peringkat.

“AMK turut kesal dengan kenyataan berkenaan dan mahu Abdul Hadi agar menghormati keputusan pimpinan pusat PAS dan Majlis Pimpinan Pakatan yang meletakkan Dr Wan Azizah sebagai satu-satunya calon bagi jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu,” katanya.

Berdasarkan laporan media kelmarin, semasa sesi soal jawab dalam dialog dan penerangan isu semasa di Rusila, Marang, Terengganu, Abdul Hadi dilaporkan berkata PAS tidak menamakan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor yang baharu kerana Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang itu tidak berkebolehan.

Abdul Hadi turut menegaskan bahawa Wan Azizah ditolak sebagai calon menteri besar bukan disebabkan beliau seorang wanita, tetapi syarat melantik pemimpin mestilah seorang yang mempunyai kebolehan dan kelayakannya untuk menjadi pemimpin. — Bernama

Advertisement