Anda di sini

‘Tindakan diambil secara memilih’ diberi perhatian

Advertisement

K’jaan sedar persepsi itu wujud dalam masyarakat: TPM

MUAR: Kerajaan mengambil perhatian persepsi ramai kononnya ‘tindakan diambil secara memilih’ terutama terhadap mereka yang mengeluarkan kenyataan melampaui batas berkaitan isu sensitif termasuk soal kaum dan agama.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan sedar persepsi begitu wujud dalam kalangan masyarakat yang beranggapan pihak berkuasa mengambil tindakan secara memilih-milih.

“(Mereka beranggapan) seolah-olah pihak berkuasa bertindak secara memilih, memilih bulu. Kalau orang ini cepat, kalau orang itu lambat…persepsi ini timbul adalah berdasarkan apa yang mereka lihat.

“(Sebagai contoh) orang bukan Melayu menyentuh sensitiviti orang Melayu baik agamanya, budayanya, rajanya dan sebagainya, maka laporan-laporan telah dibuat kepada pihak polis…sampai berpuluh-puluh laporan, jadi orang bertanya apa jadi dengan laporan-laporan itu sedangkan kalau ada hal yang dilakukan oleh orang Melayu kepada bukan Melayu, tindakan cepat diambil, seolah-olah begitulah halnya,” katanya.

Muhyiddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh berkata demikian dalam ucapan penggulungannya pada Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian itu di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh, dekat sini semalam.

Pada mesyuarat itu, terdapat usul daripada perwakilan mengenai perlunya Kementerian Dalam Negeri bertindak tegas mengikut undang-undang dan perlembagaan sedia ada terhadap pihak yang menggugat perpaduan dan mereka yang mencemar institusi raja, kesucian Islam dan hak keistimewaan orang Melayu.

Ada juga perwakilan yang mencadangkan supaya tindakan tegas diambil terhadap mereka yang menyentuh soal sensitiviti kaum dengan tindakan dan pendakwaan bukannya dibuat secara memilih.

Bagi menangani persepsi itu, Muhyiddin berkata pihak kerajaan telah mengadakan perbincangan dengan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, iaitu pihak yang bertanggungjawab dalam menangani kes sedemikian.

Beliau berkata daripada pertemuan dengan pihak berkuasa itu, penjelasan telah diberikan kepada kerajaan bahawa untuk sebarang tindakan boleh diambil, pihak berkuasa yang menyiasat perlu dapat bukti yang sahih.

“(Bukti yang didapati perlu) melampaui keraguan munasabah. Bahawa memang sabit kes itu dilakukan oleh pihak ini dan ada akta yang telah dilanggari oleh mereka dan (menyebabkan) tindakan boleh diambil oleh pihak berkuasa,” katanya. — Bernama

Advertisement