Anda di sini

Perdana Menteri Australia Tony Abbott diberi sambutan rasmi

Advertisement

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Australia Tony Abbott, yang dalam rangka lawatan rasmi pertama beliau di Malaysia sejak dilantik memegang jawatan itu, diberi sambutan rasmi di Dataran Perdana di sini semalam.

Ketibaan perdana menteri Australia itu yang melakukan lawatan rasmi sehari, di Dataran Perdana pada jam 10.04 pagi disambut rakan sejawatnya Datuk Seri Najib Tun Razak dan disusuli dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Abbott kemudian memeriksa barisan kawalan kehormat terdiri daripada 104 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Turut hadir pada majlis sambutan itu ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, menteri Kabinet, diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan.

Abbott dan Najib kemudiannya mengadakan pertemuan empat mata dan diikuti mesyuarat delegasi tertutup bagi membincangkan kerjasama sedia ada dan perkara kepentingan bagi kedua-dua negara.

Kerjasama yang dijalin antara kedua-dua negara berhubung insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 dan MH17 juga dijangka menjadi antara topik perbincangan antara kedua-dua perdana menteri.

Kedua-dua pemimpin juga dijadual mengadakan perjumpaan dengan anggota pasukan Malaysia yang terbabit dalam operasi pencarian MH370 dan MH17 untuk merakamkan penghargaan terhadap usaha yang mereka lakukan.

Australia merupakan antara 25 negara yang menerima permohonan Malaysia untuk membantu dalam misi mencari pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas dan dipercayai “berakhir” di selatan Lautan Hindi berhampiran Perth.

Najib, dalam lawatannya ke Perth pada April, berkata Australia telah membuktikannya ia sebagai “kawan sebenar” kepada Malaysia, dan beliau mengucapkan terima kasih kepada negara itu yang disifatkannya sebagai “kawan amat bernilai” bagi Malaysia.

Sejak pemeteraian hubungan diplomatik antara Malaysia dan Australia pada 1957, kedua-dua negara menjalin hubungan yang sangat akrab dan bertenagadan dipertingkatkan menerusi kerjasama substantif terutama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pertahanan, keselamatan serta hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Penerbangan MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Pesawat Boeing 777 itu masih belum ditemui walaupun pencarian besar-besaran telah dilakukan di selatan Lautan Hindi, tempat pesawat itu dipercayai berakhir.

Pesawat penerbangan MH17 pula terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai apabila ditembak jatuh di negara bergolak itu ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan 283 penumpang dan 15 anak kapal. — Bernama

Advertisement