Anda di sini

Malaysia hadapi tragedi MH370, MH17 dengan tabah dan semangat kental, kata Abbott

Advertisement

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata Malaysia mendepani tragedi berganda MH370 dan MH17 dengan tabah dan semangat kental sambil mengakui kebijaksanaan, dedikasi dan kepimpinan rakan sejawatannya Datuk Seri Najib Tun Razak, mengendalikan kedua-dua tragedi itu.

“Sukar bagi saya untuk mendapat sahabat dan penasihat dalam menghadapi ujian dan tempoh yang sukar ini dan amat berterima kasih kepada beliau (Najib) untuk persahabatan ini dan kepimpinan beliau,” katanya.

Abbott mengungkapkan kenyataan itu dalam sidang media bersama-sama Najib yang diadakan sempena lawatan rasmi sehari beliau di Malaysia, di sini semalam.

Abbott, yang terlibat dalam perbincangan dengan Najib sebelum ini, berikrar mereka tidak akan berputus asa untuk terus mencari pesawat MH370.

“Kami bertanggungjawab kepada keluarga mangsa, kami juga bertanggungjawab kepada negara yang bersedih atas kehilangan warganya, kami juga bertanggungjawab kepada orang ramai yang ingin tahu di seluruh dunia, untuk melakukan apa yang kami mampu, untuk merungkai misteri ini (kehilangan MH370).

“Kami tidak akan berhenti sehingga ia diselesaikan…Australia-Malaysia akan menjadi rakan kongsi terkuat dalam tugas penting ini,” kata Abbott.

Penerbangan MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Pesawat Boeing 777 itu masih belum ditemui walaupun pencarian besar-besaran telah dilakukan di selatan Lautan Hindi, tempat pesawat itu dipercayai berakhir.

Usaha pencarian baharu pesawat itu telah ditingkatkan dengan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan Australia bulan lepas. — Bernama

Advertisement