Anda di sini

Malaysia bersama masyarakat antarabangsa tentang ISIS

Advertisement

Malaysia akan bekerjasama perangi pertubuhan militan

PUTRAJAYA: Malaysia berdiri teguh bersama masyarakat  antarabangsa dalam menentang pertubuhan pengganas Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) kerana ia tidak membawa keadilan kepada Islam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia bimbang dengan konflik di Iraq dan Syria selain penglibatan aktiviti militan yang menghakis kestabilan di negara-negara berkenaan.

Beliau berkata Malaysia akan bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk memerangi pertubuhan militan dan pengaruhnya.

“Kami akan bekerjasama dengan masyarakat besar lain kerana ISIS tidak mewakili Islam. ISIS adalah tidak sepadan. Ia tidak membawa keadilan kepada Islam,” katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Australia, Tony Abbott di Bangunan Perdana Putra di sini semalam.

Abbott dalam rangka lawatan kerja sehari ke Malaysia untuk membincangkan isu dua hala termasuk soal kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 dan nahas pesawat MH17, selain berkaitan perdagangan.

Dalam menyokong pendirian Malaysia itu, Abbott memuji kenyataan Najib kerana menurutnya ISIS bukan sahaja mendatangkan ancaman kepada rakyat Iraq dan Syria tetapi rakyat dunia.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Najib kerana pendirian teguh beliau (menentang ISIS) seperti yang beliau nyatakan bahawa  ISIS menentang Tuhan, menetang Islam dan masyarakat keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata masyarakat global perlu menangani pertubuhan itu di setiap peringkat bagi menghapuskan pengaruhnya sebagai ‘kumpulan maut’.

Putrajaya menganggap ISIS sebagai pertubuhan pengganas dan tidak merestui sebarang aktivitinya, kata Wisma Putra minggu lepas.

Antara Januari dan Jun tahun ini, polis Malaysia menahan 19 orang termasuk dua wanita kerana terbabit dalam aktiviti militan yang boleh dikaitkan dengan ISIS.

Pihak polis turut mendedahkan sekurang-kurangnya 50 rakyat Malaysia dipercayai sedang berada di Syria berperang bersama pasukan ISIS.

Baru-baru ini Abbott mengumumkan Australia memerangi ISIS selepas keluar laporan bahawa rakyat Australia turut menjadi anggota jihad dan berperang di Iraq dan Syria. — Bernama

Advertisement