Anda di sini

Penarik kereta dihukum mati

Advertisement

 

DIHUKUM MATI: Koong (dua kiri) dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah membunuh pengasas AmBank di Kuala Lumpur semalam. — Gambar Bernama

Tertuduh didapati bersalah membunuh pengasas AmBank

KUALA LUMPUR: Penarik kereta, Koong Swee Kwan semalam dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah membunuh pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysian (AmBank) Hussain Ahmad Najadi, tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin juga menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap Koong, 45, ke-rana didapati bersalah cuba membunuh isteri pengasas Ambank itu, Cheong Mei Kuen, 50.

Beliau memerintahkan Kong menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 23 Sept tahun lepas.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan hanya bersifat penafian semata-mata.

Koong didakwa membunuh Hussain, 75, di tempat letak kereta Tokong Cina Kuan Yin di No 4, Lorong Ceylon di sini antara jam 1.30 petang dan 2 petang pada 29 Julai 2013 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Dia juga dituduh cuba membunuh Cheong di tempat dan pada masa sama mengikut Seksyen 307(1) Kanun Ke-seksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun.

Terdahulu, sebelum mah-kamah menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, Cheong dalam Kenyataan Impak Mangsa berkata beliau mengalami trauma teruk dari segi emosi dan fizikal oleh perlakuan jenayah paling kejam itu.

“Saya mengalami kece-deraan parah, kehilangan keupayaan dan kemampuan bergerak, pendarahan dalaman peringkat kedua, tekanan mental, jantung berdebar, kabur penglihatan, difitnah secara lisan dan tulisan dan kenyataan palsu yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Cheong juga berkata semasa hayatnya, suaminya merupakan seorang yang lemah lembut, merendah diri dan baik hati tetapi kehidupannya telah ditamatkan oleh lelaki paling kejam.

“Hussain Najadi amat prihatin terhadap nasib anak yatim, kanak-kanak tanpa ibu bapa dan terhadap kebajikan mereka. Satu daripada hasratnya adalah menubuhkan ‘The Hussain Najadi Foundation’ untuk kanak-kanak miskin dan anak yatim di negara-negara miskin.

“Beliau menekankan bahawa itulah satu-satunya harapan mereka untuk masa depan lebih baik. Kini impian itu telah musnah,” kata Cheong dengan linangan air mata.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman mati bagi kesalahan membunuh manakala penjara maksimum 20 tahun bagi kesalahan cuba membunuh Cheong.

“Kes ini menarik perhati-an awam. Keadilan hanya berlaku jika mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum terhadap tertuduh,”  katanya.

Peguam Naizatul Zamrina Karizaman memohon hukuman ringan diberikan terhadap anak guamnya atas alasan kesalahan tertuduh merupakan kesala-han pertamanya selain tertuduh hanya mendapat pendidikan awal sehingga darjah tiga. — Bernama

 

 

Advertisement