Anda di sini

Kemasukan pelancong 4.3 juta

Advertisement

RASMI: Abang Johari menyalakan meriam sebagai simbolik perasmian pembukaan The Ranee sambil ditemani tetamu kehormat lain.

Abang Johari optimis sasaran akan dicapai menjelang hujung tahun ini

Oleh Rusnan Mustafa \\

KUCHING: Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg optimis jumlah kemasukan pelancong ke negeri ini akan mencapai sasaran iaitu 4.3 juta menjelang hujung tahun ini.

Malah, beliau mendedahkan setakat Jun lalu sebanyak 60 peratus daripada dua juta pelancong asing datang ke negeri ini iaitu meningkat 10 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

“Kita yakin jumlah kemasukan pelancong tempatan mahupun luar negara ke negeri ini akan mencapai sasaran iaitu 4.3 juta menjelang hujung tahun ini.

“Setakat Jun lalu, sebanyak 60 peratus daripada 2 juta pelancong yang datang adalah pelancong asing manakala selebihnya adalah pelancong domestik dan ini menunjukkan satu peningkatan yang amat memberangsangkan kalau dibandingkan tempoh yang sama tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian The Ranee Boutique Suites Sarawak, Main Bazaar Kuching semalam.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan memberitahu peningkatan kemasukan pelancong ke negeri ini hasil sokongan dan kerjasama pengusaha tempat penginapan yang berkualiti serta tarikan tersendiri Sarawak khasnya bandar raya Kuching.

“Peningkatan jumlah kemasukan pelancong ke Sarawak hasil sokongan beberapa sektor pelancongan seperti hospitaliti, perubatan, perniagaan dan kawasan tarikan ekopelancongan yang unik di sini.

“Justeru, saya berharap kerjasama erat ini dapat diteruskan bagi memastikan sektor pelancongan di negeri ini terus berkembang dan maju dalam usaha kita mencapai negara maju menjelang 2020 kelak,” tambahnya.

Beliau turut memberitahu lokasi bandar raya ini yang strategik dan mempunyai pusat persidangan bertaraf antarabangsa (BCCK) selain ditambah dengan prasarana moden menjadikan ia antara lokasi persidangan pilihan di Malaysia.

“Pusat konvensyen kita iaitu BCCK boleh menggunakan jalan raya atau sungai yang pastinya memberi kelainan daripada pusat konvensyen yang ada di negara ini sekali gus menjadi tarikan untuk orang luar datang bersidang ke negeri ini,” katanya lagi.

Selain itu, jelasnya kewujudan tempat penginapan bertaraf dan berkualiti di negeri ini juga menyumbang kepada peningkatan kemasukan pelancong ke negeri ini.

“Saya berharap pengusaha tempat penginapan dan perhotelan dapat bersama-sama mempromosikan sektor pelancongan di negeri ini dengan menyediakan suasana penginapan yang berkualiti kepada pelancong yang datang,” ujarnya.

Hadir sama isteri Timbalan Ketua Menteri Dato Sri Empiang Jabu, Pengarah Lembaga Pelancongan Sarawak Datuk Rashid Khan, Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, Pengarah The Ranee Rosemarie Wong, Pengurus Besar Mary Chan dan tetamu kehormat lain.

Advertisement