Anda di sini

Kapten industri terokai batasan baharu angkasa raya

Advertisement

CUKUP CANGGIH: Bahagian dalaman pesawat Dragon V2 tujuh tempat duduk terbaharu keluaran SpaceX manakala gambar utama menunjukkan seorang lelaki meneliti WhiteKnightTwo yang membawa SpaceShipTwo sebelum penerbangan di Spaceport America, timur laut Truth Or Consequences. — Gambar AFP

DENGAN kapal angkasa yang dapat membawa pelancong ke angkasa lepas dan menghubungkan Paris dengan New York dalam masa tidak sampai dua jam, wira-wira baharu dalam pengembaraan angkasa bukanlah angkasawan tetapi tokoh-tokoh perindustrian yang berani.

Generasi baharu perintis angkasa ini semuanya menggunakan wang sendiri untuk meneroka sempadan terakhir tatkala program-program angkasa kerajaan semakin berkurangan.

Masa sudah berubah.

Dahulu perlumbaan angkasa diketuai golongan seperti agensi angkasa Amerika Syarikat (AS) NASA yang meletakkan manusia pertama di atas bulan pada 1969.

Hari ini ia adalah usahawan Elon Musk, pengasas kereta elektrik Tesla dan syarikat penerokaan angkasa SpaceX, yang mahu sampai ke Marikh pada tahun 2020-an.

Projek angkasa persendirian yang paling maju dan menerima publisiti paling meluas, diketuai Richard Branson, pengasas Virgin Group dari Britain.

Pesawat angkasa beliau SpaceShipTwo akan dilancarkan pada altitud tinggi dari sebuah pesawat induk berenjin empat yang kelihatan aneh, dan dapat membawa dua orang juruterbang dan seramai enam orang penumpang, sebelum ia memulakan penerbangan pinggiran angkasa selama tiga jam.

Branson dan anak-anaknya akan menjadi penumpang-penumpang pertama di atas pesawat tersebut apabila ia dijangka dilancarkan lewat tahun ini.

Syarikatnya Virgin Galactic diberi lampu hijau pada Mei lalu oleh Agensi Penerbangan Persekutuan AS (FAA) untuk membawa penumpang dari sebuah pangkalan di New Mexico, yang dinamakan ‘Spaceport America’, sesuatu yang didapati dalam rekaan sains selama ini.

Harga AS$250,000 (RM800,000) bagi satu tiket tidak melemahkan semangat lebih 600 orang, termasuk selebriti seperti pelakon Leonardo DiCaprio, daripada menempah tiket mereka.

Syarikat penerbangan angkasa AS XCOR lebih berpatutan, dengan menawarkan penerbangan pinggiran angkasa selama sejam dengan kos AS$100,000 (RM320,000) di atas sebuah pesawat yang berlepas dari Gurun Mojave di California. Ia sudah menjual hampir 300 tiket.

“Prototaip pertama sedang dipasang. Penerbangan ujian itu diharap akan bermula sebelum hujung tahun, dan penerbangan komersial sebelum hujung 2012,” kata seorang ahli lembaga XCOR Michiel Mol kepada koresponden Patrick Rahir.

Ia merancang empat penerbangan sehari dan berharap kekerapan-nya lambat-laun akan memberi kelebihan kepadanya ber-banding Virgin Galactic.

SATELIT KECIL

Namun perniagaan angkasa baharu bukan sahaja mengenai hasrat untuk memenuhi keinginan golongan kaya, ia juga berharap untuk memenuhi pasaran bagi melancarkan satelit lebih kecil dengan berat tidak sampai 250 kilogram.

“Pelancar khas tiada bagi satelit kecil,” kata Rachel Villain dari Euroconsult, sebuah firma perundingan global yang mengkhusus dalam pasaran angkasa.

“Semua orang sudah bertahun-tahun mencari ‘Holy Grail’ iaitu bagaimana untuk mengurangkan kos selain untuk menghantar mereka sebagai penumpang di atas pelancar besar.”

“Pemain-pemain baharu ini sedang melancarkan revolusi dalam pasaran pelancaran,” kata pakar aeronautik Philippe Boissat dari firma perundingan Deloitte.

“Mereka lebih pintar, lebih murah, dan mereka boleh digunakan semula dan tidak meninggalkan serpihan di angkasa lepas.”

Itulah apa yang dicadangkan syarikat pendatang baharu, Swiss Space Systems atau S3.

Dengan sebuah pesawat di atas sebuah kapal terbang Airbus A300, pengasasnya Pascal Jaussi mahu mula melancarkan satelit sebelum menceburi penerbangan penumpang antara benua.

Bekas juruterbang ujian berusia 37 tahun itu mendakwa dia dapat mengurangkan harga bagi satu pelancaran satelit seberat 250 kilogram kepada lapan juta euro (RM34.4 juta), sesuku daripada kosnya sekarang.

“Pembuat satelit yang mahu melancarkan kumpulan satelit cuaca dan pengawasan sudah pun memenuhi buku-buku tempahan,” katanya.

Penerbangan ujian pertama dirancang bagi hujung tahun 2017, dan pelancaran satelit pertama akan bermula pada hujung tahun berikutnya dari sebuah pangkalan di Kepulauan Canary, iaitu kepulauan Sepanyol di perairan barat laut Afrika.

Bagi penerbangan penumpang, syarikat angkasa baharu perlu diluluskan oleh badan pengawal yang kini mengawal perjalanan udara.

Buat masa sekarang sebuah pesawat penumpang meliputi jarak 5,800 kilometer di antara Paris dan New York dalam tempoh tujuh jam.

Pada kelajuan Mach3, pesawat S3 dapat melakukan perjalanan yang sama dalam masa satu setengah jam.

“Kami berharap untuk mendapatkan harga tiket yang boleh dibandingkan dengan tambang transatlantik kelas pertama. Ia tidak harus melebihi 30,000 Swiss francs (RM106,210),” katanya.

Boissat dari Deloitte sudah melihat lebih jauh ke hadapan.

“Penerbangan pinggiran angkasa ini akan menghasilkan generasi baharu juruterbang pejuang yang mengawal pesawat angkasa yang dihantar ke angkasa untuk melindungi satelit atau meneutralkan satelit yang menimbulkan ancaman,” dia meramalkan. — AFP

Advertisement