Anda di sini

Cabaran sebaldi ais: Hotel Pullman Kuching calonkan lima rakan niaga di Semenanjung

Advertisement

TERIMA CABARAN: Ahli jawatankuasa eksekutif Hotel Pullman Kuching menyahut cabaran sebaldi ais.

KUCHING: Hotel Pullman Kuching mencalonkan lima rakan niaganya di Semenanjung Malaysia untuk menyahut cabaran sebaldi ais (ice bucket challenge) selepas 23 ahli jawatankuasa menyelesaikan cabaran sebaldi ais Amyotrophic Lateral Sclerosis (ASL) semalam.

Lima nama yang dicalonkan termasuk Hotel Novotel KLCC, Hotel Pullman Bangsar, Hotel Pullman Lakeside Putra Jaya, Ibis Style Ipoh dan Ibis Style Fraser Park.

Pengurus Besar Hotel Pullman Kuching Felix Yeo mengetuai 23 lagi ketua jabatan di hotel berkenaan bagi menyahut cabaran sebaldi ais itu.

Lebih menarik, cabaran dilakukan secara berkumpulan dengan setiap seorang akan menyimbah ais kepada rakan di sebelah.

Menurut Felix, pihaknya menyahut cabaran daripada Interhill Group yang mencalonkan hotel tersebut sebelum ini.

Selepas ini katanya, video yang memaparkan beliau bersama ketua jabatan hotel yang melakukan cabaran itu akan dimuat naik ke laman Facebook hotel dan YouTube.

“Jadi kami mencalonkan rakan niaga kami di Semenanjung Malaysia untuk menyahut cabaran ini,” katanya.

Tujuan menyimbah ais ke tubuh seseorang adalah kerana kesan yang dirasai adalah sama dengan apa yang dirasai oleh penghidap penyakit ALS.

ALS atau disebut sebagai Lou Gehrig adalah sejenis penyakit yang mengganggu urat saraf di dalam otak dan saraf tunjang.

Gangguan saraf itu kemudiannya akan menjadikan pesakit lumpuh dan akhirnya meninggal dunia.

Cabaran mandi ais menjadi ‘viral’ di Amerika Syarikat apabila sahabat karib kepada bekas Kapten Besbol Boston College, Pete Frates telah disahkan menghidap ALS dan sahabatnya mencabar rakan sepasukan yang lain untuk menyertai cabaran tersebut.

Ia kemudiannya menjadi viral di media sosial dengan penyertaan ramai selebriti.

Advertisement