Anda di sini

Pemuda disyaki mati dibunuh ditemui di kilang kayu

Advertisement

TAWAU: Mayat seorang pemuda dengan kesan tetakan disyaki dibunuh ditemui di sebuah kilang kayu lama, Kg Hidayat Batu 4 Jalan Apas, pada jam 7.17 malam, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah, berkata mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih 12 jam sebelum ditemui orang awam di kawasan semak kilang itu.

“Mengikut maklumat awam, mangsa dikenali sebagai Totok, berketurunan Suluk-Bajau dan berusia 30-an,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo kelmarin.

Awang berkata siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti identiti sebenar mangsa dan punca kejadian berdasarkan beberapa petunjuk awal.

Beliau berkata, mayat itu dipenuhi semut ketika ditemui bersama sebilah samurai pendek bersarung yang disyaki milik mangsa kerana tidak ada kesan darah.

“Terdapat kesan kecederaan dari muka sehingga leher pada mayat mangsa selain kesan tetakan di bahagian tangan dan tapak kakinya,” katanya.

Katanya, ketika polis tiba di lokasi terbabit mayat mangsa lengkap berpakaian dengan memakai baju berwarna merah dan berseluar pendek jeans berwarna biru.

Menurut Awang, mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tawau untuk bedah siasat, sementara siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kita harap saksi kejadian ataupun orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini dapat menyalurkannya kepada kita untuk membantu siasatan.

“Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Jafri Othman atau IPD Tawau di talian hotline 089-772121 atau balai-balai berhampiran,” katanya.

 

Advertisement