Anda di sini

Enraz Cahaya Zen laung amaran awal

Advertisement

SENGIT: Pekayuh bersaing dalam acara Kenyalang 20 Pekayuh Lelaki pada hari pertama Regata Sarawak 2014 di Tebingan Kuching semalam. — Gambar Chimon Upon

Regata Sarawak 2014 bermula meriah saksikan 19 acara saringan, lima acara akhir dipertandingkanOleh Harry Illias //

KUCHING: Hari pertama temasya sukan air terbesar Regata Sarawak 2014 bermula meriah menyaksikan 19 acara saringan dan lima acara akhir dipertandingkan di Tebingan Kuching semalam.

Enraz Cahaya Zen menunjukkan amaran awal untuk merebut gelaran berprestij ‘Raja Sungai’ dengan menduduki tempat pertama saringan A Bidar 30 Pekayuh Lelaki.

Pasukan sama turut menguasai kategori saringan Bidar 20 Pekayuh Lelaki dan Kenyalang Campuran (15 lelaki dan 5 Wanita).

Begitupun, mereka bakal dicabar oleh beberapa pasukan lain seperti Kumpulan Yayasan Sarawak, GP Jang, Istana Merdeka, Sri Pakatt dan Imbok yang turut cemerlang dalam peringkat saringan Bidar 30 Pekayuh Lelaki.

Raja Sungai tahun lepas, GP Jang tidak kurang hebatnya dengan turut menungguli beberapa acara saringan seperti Balok 7 Pekayuh Lelaki, Bidar 20 Pekayuh Lelaki termasuk Kenyalang Antarabangsa 20 Pekayuh Lelaki.

Manakala perahu Puteri Dang Balai milik Kumpulan Yayasan Sarawak juga tidak mengalah apabila menduduki tempat pertama dalam perlumbaan saringan Bidar 10 Pekayuh Lelaki, Bidar 20 Pekayuh Lelaki dan Kenyalang Antarabangsa 20 Pekayuh Lelaki.

Sementara itu, perlumbaan akhir kayak perseorangan lelaki telah dimenangi Richie Muktelus.

Tempat kedua milik Jury Amrullah Ibrahim dan Mohd Nurfariezman Osman di tempat ketiga.

Saingan akhir Tambang Berdayung pula menyaksikan Polo 7 Tali Harus 1 muncul johan, diikuti Sarkon Enterprise -1 di tempat kedua dan Sri Samarahan tempat ketiga.

Juara bagi kategori Kayak Bergu Wanita pula disandang Enraz Cahaya Zen, naib johan Sinaran Ratu Balqis dan JKM tempat ketiga.

Hari ini, 11 lagi acara saringan dan enam acara akhir akan dipertandingkan.

Acara akhir bakal melibatkan perlumbaan kayak perseorangan wanita, Bidar 10 Pekayuh Wanita, Bidar 20 Pekayuh Lelaki (Antara Agensi Kerajaan/Korporat), Kayak Bergu Lelaki, Bidar 15 Pekayuh Campuran (10 Lelaki dan 5 Wanita) dan Perahu Kenyalang 20 Pekayuh Lelaki (Antara IPTA/IPTS).

Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem akan merasmikan pembukaan Regata Sarawak 2014 esok.

 

Advertisement