Anda di sini

Tak sempat edar dadah

Advertisement

Oleh Rosemaria Buma //

Polis berkas lelaki, rampas 180 pil Ekstasi disasar untuk pasaran Miri

TUMPAS: Stanley menunjukkan peket-peket plastik kecil lutsinar yang mengandungi pil Ekstasi yang dirampas dalam serbuan itu.

MIRI: Polis Miri percaya berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan tertangkapnya seorang lelaki dan merampas sebanyak 180 biji pil Ekstasi dianggarkan bernilai RM14,400 dalam serbuan ke atas sebuah rumah banglo setingkat di Kampung Haji Wahed di sini, malam Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Stanley Jonathan Ringgit berkata, pil-pil Ekstasi seberat 56 gram (berat kasar) itu dijumpai disembunyikan di dalam lapan peket plastik kecil lutsinar di dalam kotak rokok yang diapit dengan dua keping span putih dan disimpan dalam sebuah kotak besar yang berbungkus rapi.

“Berat kasar dadah itu sudah memadai untuk kita mendakwa suspek mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” ujarnya pada sidang akhbar di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Miri di sini, pagi semalam.

Menurut beliau, suspek, 22, dari Fasa 1 Desa Senadin di sini kini direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah turut didakwa di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 berikutan keputusan ujian air kencingnya menunjukkan kesan positif dadah.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan dadah itu dibawa oleh suspek dari Sibu ke Miri adalah untuk dipasarkan di sini terutamanya di pusat-pusat hiburan sekitar bandar raya ini.

“BSJN Miri sering melakukan pemeriksaan ke atas premis-premis hiburan dan menangkap beberapa individu yang air kencing mereka didapati positif dadah, namun tiada sebarang dadah dirampas. Jus-teru, kita hanya dakwa mereka sebagai penagih dadah.

“Tetapi dengan rampasan ini, jelas menunjukkan bahawa dadah yang mereka ambil adalah daripada individu ini yang membawa masuk dadah ke sini bagi tujuan pasaran tempatan terutama di pusat-pusat hiburan,” jelasnya sambil menambah harga pasaran sebiji Ekstasi antara RM40-RM50, namun bila dibawa ke sini boleh mencecah RM80 sebiji.

Menurut Stanley, bertindak atas maklumat diterima sekitar jam 10.10 malam 1 September lalu, sepasukan polis BSJN diketuai Inspektor Nasrul Hadi Jahat menyerbu sebuah rumah banglo di Kampung Haji Wahed di sini.

Dalam serbuan itu, polis menahan tiga lelaki berusia 22 hingga 38 tahun yang sedang berada di ruang tamu rumah sewa berkenaan untuk tujuan pemeriksaan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah.

Hasil pemeriksaan lanjut, polis menjumpai selaras senapang angin jenama Sharp Innova yang disembunyikan di dalam sebuah kompresor alat pendingin hawa dan satu bekas berpenutup mengandungi 91 butir peluru senapang angin jenis .177 inci Superdome.

“Senapang serta peluru-peluru diperbuat daripada timah itu dirampas untuk dijadikan barang kes dan ketiga-tiga suspek kemudian ditahan untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1980,” katanya sambil menambah, suspek kedua dan ketiga direman dua hari berkaitan kes rampasan senapang angin sahaja.

Semasa pemeriksaan sama, suspek berusia 22 tahun me-nyerahkan kunci sebuah kereta jenis Proton Wira kepada polis dan kemudian memandu arah polis untuk merampas satu kotak yang masih berbungkus rapi dan diletakkan di tempat duduk penumpang belakang kereta berkenaan.

Menurut Stanley, selain mengandungi satu kotak rokok berisi 180 biji Ekstasi yang diapit dengan dua keping span putih, kotak berkenaan turut dimuatkan beberapa biji batu serta pakaian lusuh untuk menambah berat sekali gus mengelirukan orang ramai.

Sehubungan itu, polis menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui motif sebenar mereka membawa masuk senapang angin ke sini dari negara jiran, Indonesia.

“Mereka bukan pemburu, manakala senapang angin itu adalah buatan kilang yang diimport dari luar negara. Jus-teru, polis akan siasat apa motif sebenar mereka bawa masuk senapang itu dari negara jiran Indonesia, kalau bukan untuk tujuan jenayah,” katanya sambil memberitahu ketiga-tiga suspek turut mempunyai rekod jenayah berhubung kes curi kenderaan dan dadah.

Dalam pada itu, polis turut merampas dua buah kendera-an termasuk kereta Proton Wira milik suspek yang dipercayai terlibat pengedaran dadah dan sebuah lagi kenderaan jenis Kia Sportage mengguna-kan plat pendaftaran palsu milik seorang suspek.

Advertisement