Anda di sini

Rangkaian pasaran motosikal curi lumpuh

Advertisement

Oleh Michael Ubam //

Polis Sibu tangkap dua lelaki dipercayai ‘broker’, penjual serta lima pendatang asing

SIBU: Pasukan polis D4 sekali lagi berjaya mematahkan rangkaian pasaran motosikal curi dengan tertangkapnya dua lelaki tempatan dipercayai ‘broker’ dan penjual motosikal curi serta lima pendatang asing di Sungai Maaw, Tanjung Kunyit di sini pagi kelmarin.

Menurut sumber, bertindak daripada maklumat, pasukan polis D4 diketuai oleh Inspektor Firdaus dan anggotanya melakukan serbuan ke atas sebuah rumah kawasan terbabit dan menahan dua lelaki berbangsa Cina berumur 42 dan 50 tahun jam 12 tengah malam.

Polis juga merampas tiga buah motosikal pelbagai jenis dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati motosikal berkenaan telah dilaporkan hilang sejak tahun lalu, katanya.

“Dalam serbuan berterusan pada hari yang sama, lima lelaki warga Indonesia juga diheret ke balai kerana dipercayai membeli motosikal curi daripada broker berkenaan.

“Polis turut merampas dua buah motosikal dan sebuah rangka motosikal sebelum ini dilaporkan hilang sejak dua tahun lalu,” katanya.

Usaha pasukan D4 membanteras jenayah curi motosikal di bandar ini membuahkan hasil apabila berjaya menahan seorang remaja lelaki Melayu, berumur 18 tahun di sebuah rumah di Jalan Bandong pada jam 2 petang kelmarin.

Polis juga merampas dua buah motosikal yang menggunakan enjin motosikal yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Hasil siasatan lanjut, polis percaya suspek merupakan salah seorang ahli kumpulan curi motosikal ‘Geng Abang Barieng’ yang ditangkap dua hari lalu.

Tiga daripada ahli geng berkenaan berbangsa Melayu dan berumur belasan tahun hingga awal dua puluhan ditangkap pada malam ambang merdeka.

Polis juga menjumpai empat buah enjin motosikal dan satu rangka motosikal disembunyikan dalam sebuah rumah di Jalan Abang Barieng, di sini.

Dengan tertangkapnya suspek curi motosikal itu, polis berharap mengesan saki baki ahli kumpulan terbabit dipercayai masih bebas.

Polis juga tidak menafikan ahli kumpulan curi motosikal itu terdiri daripada budak-budak sekolah.

Suspek-suspek dijangka direman hari ini.

Advertisement