Anda di sini

Piala Sarawak: Skuad SUKMA 2016 diyakini mampu mencabar

Advertisement

KUCHING: Pengendali skuad SUKMA 2016, Johnny Dominicus menaruh keyakinan tinggi terhadap kudrat pemain mudanya untuk melakar kejutan pada kempen Piala Sarawak 2014 yang akan berlangsung dari 20 hingga 27 September depan.

Menurut Johnny, persediaan skuad yang dibarisi semua pemain bawah 19 tahun itu berjalan dengan baik dan bersedia untuk memberikan cabaran pada temasya dwitahunan itu.

“Semua pemain dalam skuad ini mewakili Sarawak pada kejohanan Piala Belia di Melaka lalu. Setakat ini, persiapan kita berjalan dengan baik dan saya percaya dengan kemampuan mereka untuk mencipta kejutan pada kejohanan itu nanti,” katanya di sini semalam.

Johnny menambah, beliau belum meletakkan apa-apa sasaran awal sebaliknya berharap skuadnya dapat mencatat kemenangan dalam setiap perlawanan di peringkat kumpulan meskipun bakal berdepan cabaran sengit dari tiga pasukan lain.

Justeru, beliau meletakkan keyakinan menggunung di bahu penyerang mudanya, Abdul Rahim yang muncul penjaring terbanyak pada kejohanan Piala Belia dengan sembilan gol.

“Kejohanan ini menjadi pentas terbaik baik untuk Abdul Rahim memantapkan permainannya kerana beliau akan bersaing dengan ramai pemain senior.

“Ini akan memberi pengalaman berharga kepadanya dan rakan sepasukan sekali gus meningkatkan prestasi dan keyakinan mereka,” tambahnya.

SUKMA 2016 diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan Kuching, Bintulu dan Kapit.

Mereka menjalani latihan di Stadium Sarawak di sebelah pagi atau petang setiap hari kecuali Ahad.

Piala Sarawak anjuran Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) akan diadakan di Kuching dan Samarahan dengan 14 pasukan mengesahkan penyertaan.

Pasukan terlibat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Miri dan Sarikei (Kumpulan B), Limbang, Betong, Mukah dan Samarahan (Kumpulan C) manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sri Aman dan Sibu dalam Kumpulan D.

Advertisement