Anda di sini

Pemuda SPDP buat laporan polis terhadap FB Jemaah ISIS Malaysia

Advertisement

MIRI: Exco Pemuda SPDP Sarawak di sini semalam membuat laporan polis ke atas laman sosial Facebook milik JIM-Jemaah ISIS Malaysia yang didakwa cuba mengancam perpaduan rakyat di Semenanjung Malaysia dengan rakyat dari Sabah dan Sarawak.

Laporan polis juga dibuat kerana laman sosial tersebut telah menghina rakyat negeri ini, demikian kata Exco Pemuda SPDP, yang juga Ketua Penerangan Pemuda SPDP Jaya Ramba, semasa ditemui selepas menerima salinan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Tanjong Lobang di sini, semalam.

Turut bersama beliau ialah Penolong Bendahari SPDP, Minggu Munang dan Henry Coline Belawing yang mewakili cawangan SPDP dari empat bahagian iaitu Piasau, Pujut, Lambir dan Senadin.

“Hari ini (semalam) kami membuat laporan polis kerana risau tentang perpaduan hari ini yang boleh musnah dalam sekelip mata, ekoran yang dimuatkan oleh Jemaah ISIS Malaysia dalam laman sosial mereka.

“Bukan sahaja kekecohan akan berlaku jika perkara tersebut tidak dibendung, tetapi apa yang kami bimbangkan ketika ini ialah jika berlakunya huru-hara di seluruh negara yang aman ketika ini.

“Malah, ia juga tentang soal keselamatan rakyat negeri Sarawak yang bekerja di Semenanjung dan juga rakyat Semenanjung yang bekerja di negeri ini,” tambah beliau.

Justeru, Jaya berkata Pemuda SPDP menggesa agar pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan segera dan pantas ke atas pemilik akaun laman sosial tersebut kerana jika dibiarkan ia boleh menjadi satu tindakan provokasi yang boleh menjejaskan hubungan baik rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Kami sangat kesal dan malu dengan tindakan yang tidak bertamadun dan tidak bertanggungjawab ini. Ini bukan cara rakyat Malaysia yang mempertahankan konsep 1Malaysia tetapi tindakan manusia yang cetek akal dan hilang fikiran.

“Mereka ini harus dikesan dan diberkas segera, kemudian diadili secukupnya mengikut kesalahan besar menghuru-harakan perpaduan rakyat dan negara ini,” ujar Jaya.

Advertisement