Anda di sini

Lelaki maut dilanggar lari

Advertisement

MAUT: Seorang pegawai trafik memeriksa mayat mangsa di tempat kejadian.

MIRI: Seorang penumpang maut setelah kereta jenis Perodua Kancil yang dinaikinya bersama seorang rakan dilanggar lari oleh sebuah kenderaan lain dipercayai lori dalam kemalangan di Jalan Persisir Pantai berhampiran simpang Kampung Iran, Suai, Niah di sini pagi semalam.

Mangsa dikenali Saddam Pengarah, 22, dari Rumah Sebli, Hulu Sikat, Mukah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan.

Manakala pemandu kereta terbabit, Arith Aidan Jua, 31, dari Kampung Iran, Suai cedera di dahi dan lutut kiri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, sebelum kejadian pada jam 3 pagi, kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Kampung Iran menuju ke Ladang Imbok di Jalan Persisir Pantai.

“Setiba di tempat kejadian, pemandu kereta terbabit memberitahu bahawa dia ternampak cahaya lampu yang menyilaukan pandangannya seperti cahaya dari sebuah kenderaan yang berada di laluannya lalu terlanggar kenderaan tersebut.

“Bagaimanapun, pemandu terbabit tidak pasti jenis kenderaan itu berikutan keadaan di tempat kejadian sangat gelap,” katanya.

Difahamkan, kenderaan terbabit yang dipercayai lori berdasarkan beberapa serpihan pelanggaran yang ditemui di lokasi kemalangan terus melarikan diri.

Berikutan itu, sepasukan polis dari Balai Polis Batu Niah dan Balai Polis Trafi k Miri bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan tentang kemalangan maut itu.

Manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

Advertisement