Anda di sini

Lelaki dibelasah gara-gara terbabit dalam kemalangan

Advertisement

SIBU: Seorang lelaki dibelasah oleh sekumpulan lelaki yang tidak dikenali gara-gara terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Pahlawan, di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 3.15 petang itu, pengadu berbangsa Cina, 32, dalam perjalanan pulang menunggang motosikal dari Poliklinik Jalan Oya apabila terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Toyota Camry dipandu seorang wanita.

Tanpa diduganya sekumpulan lelaki tiba-tiba muncul beramai-ramai lalu bertindak memukulnya menggunakan tangan, kaki, topi keledar dan batang paip.

Akibat itu, pengadu mengalami kecederaan di beberapa bahagian badannya selain mata lebam.

Menurutnya, beliau tidak pasti sama ada kumpulan tersebut adalah rakan pemandu wanita tersebut atau sebaliknya.

Kumpulan lelaki yang menyerangnya hanya beredar di situ sebelum polis muncul untuk menjalankan siasatan.

Pengadu yang cedera selepas dibelasah hanya mampu menghubungi adiknya bergegas tiba di lokasi sebelum membawanya ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan.

Pengadu membuat laporan polis pagi semalam mengenai insiden malang yang menimpanya.

Advertisement