Anda di sini

APMM Tawau gagalkan cubaan seludup petrol ke Filipina

Oleh AMIR ANUAR //

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup keluar 14 gelen minyak petrol bersubsidi di perairan Semporna, 31 Ogos lepas.

Menurut Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Tawau Kepten Maritim Anor Jaafar, kejayaan itu berikutan penahanan dua bot pam di perairan Pulau Boheyan kira-kira jam 3.40 petang.

“Kapal peronda APMM yang meronda di sektor pengawasan menahan kedua-dua bot mencurigakan yang dilihat sedang bergerak dari Semporna menuju ke Pulau Boheyan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati awak-awak terbabit terdiri daripada lelaki berbangsa Bajau Laut dan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 15-46 tahun,” katanya.

Anor berkata demikian menerusi kenyataannya di sini kelmarin sambil mengesahkan awak-awak bot itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati bot pertama membawa lima tong berisi minyak petrol dan bot kedua membawa sembilan tong minyak petrol.

“Kita mengesyaki suspek-suspek terbabit cuba menyeludup keluar minyak petrol bersubsidi ke negara jiran secara haram selepas menyembunyikannya.

“Kita percaya mereka mengumpul bahan api berkenaan di suatu tempat terlebih dahulu sebelum membawanya keluar ke negara jiran pada satu masa yang sesuai,” katanya.

Siasatan lanjut, turut mendapati kedua-dua bot pam itu tidak mempunyai sebarang nombor pendaftaran dan ditunda ke jeti APMM Tawau bersama awak-awak terbabit.

Beliau berkata, siasatan kes terbabit dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa muatan tanpa sebarang permit kebenaran daripada pihak berkuasa.