Anda di sini

11 PTI dari Selatan Filipina cuba menyusup masuk ditahan

Oleh AMIR ANUAR //

SEMPORNA: Seramai 11 pendatang tanpa izin (PTI) dari Selatan Filipina diberkas ketika cuba menyusup masuk ke negeri ini melalui perairan Semporna, di sini Selasa lepas.

Menurut Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Sabah ACP Mohamad Madun, penahanan itu melibatkan tujuh lelaki dan tiga perempuan berusia antara 14 – 60 tahun.

“Mereka ditahan kira-kira jam 2.30 petang semasa bot ronda PPM Semporna menjalankan rondaan Ops Taring di Laut Pulau Kulapuan,” katanya di sini kelmarin.

Mohamad berkata, penahanan ke atas sebuah bot pam mendapati juragan dan 10 penumpangnya tidak memiliki sebarang dokumen keterangan diri yang sah.

Mengulas lanjut, beliau berkata kesemua PTI terbabit disyaki baharu sahaja tiba dari Sitangkai, Filipina dan dalam perjalanan menuju ke Kg Bangau-Bangau sebelum ditahan.

“Berikutan itu kesemua PTI terbabit dibawa diserah ke Balai Polis Semporna untuk tindakan lanjut kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen,” katanya.

Pasukannya turut merampas sebuah bot pam berwarna biru taris hijau, sebuah enjin jenis Mitsubishi 13 Kuasa Kuda (HP) dan Lifan 13 HP yang dianggarkan bernilai RM3,600.

Mohamad berkata, siasatan kes terbabit dijalankan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/ 63 (Akta 155) kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.