Anda di sini

Penumpang setia MAS mohon cuti untuk ikuti istiadat penghormatan mangsa

Advertisement

SEPANG: Penumpang setia Malaysia Airlines (MAS) Lau Ai Lian tidak pernah ketinggalan untuk memberi penghormatan kepada mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, meskipun terpaksa memohon cuti daripada majikan.

Lau, 46, akauntan di sebuah firma di Subang Jaya berterima kasih kepada majikannya kerana memahami hubungan istimewa beliau dengan syarikat penerbangan itu, lebih-lebih lagi MAS sentiasa menjadi pilihan utamanya setiap kali terbang ke luar negara, sejak beliau kecil.

Semalam, beliau sekali lagi menggunakan cuti tahunannya untuk bersama-sama ‘menyambut’ ketibaan sembilan mangsa tragedi MH17, meskipun hanya dibenar berbuat demikian dari luar pagar Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabngsa KL (KLIA), di sini.

“Saya tak akan berhenti berdoa hanya kerana hujan. Saya tetap berada di sini, apatah lagi hari ini (semalam) giliran dua kapten dibawa pulang. Kapten merupakan individu paling penting dalam sesebuah pesawat,” katanya kepada pemberita semasa menunggu ketibaan pesawat komersial MH19 yang membawa jenazah itu.

Lau juga memaklumkan bahawa beliau dan suami, Jimmy Ang Sayyew, 52, bertolak dari rumah mereka di Klang sejak awal pagi, bagi membolehkan mereka tiba di Kompleks Bunga Raya pada jam 7 pagi, untuk mendapatkan ‘tempat dan pemandangan terbaik’, iaitu laluan keluar kenderaan jenazah.

Beliau juga berharap semua rakyat Malaysia akan terus berdiri teguh di belakang MAS, khususnya pada saat-saat getir berhadapan dengan tragedi kehilangan MH370 dan nahas MH17.

“Secara kebetulan, angka kesukaan saya sejak kecil ialah tiga dan tujuh, menyebabkan saya lebih sedih bila kejadian ini berlaku,” katanya sebak.

“Saya harap MAS akan meneruskan perniagaan mereka dan tabah menghadapi situasi ini, saya tidak kenal sesiapa di dalam pesawat MH17 itu tapi saya datang bagi menunjukkan sokongan kepada keluarga mangsa dan syarikat penerbangan kesa-yangan saya itu,” katanya.

Pada masa sama, seorang pramugara MAS Syed Anuar Syed Ibrahim, 48, bersama isteri Syarifah Noraini Syed Hamid, 48, turut menunggu di luar kompleks itu bagi menyertai istiadat ketibaan sembilan jenazah semalam.

Syarifah Noraini berkata kedatangannya semalam adalah bagi memberi soko-ngan kepada suaminya untuk meneruskan karier beliau.

“Suami saya berkawan rapat dengan kru pesawat malang itu, terutama Penyelia Penerbangan, Mohd Ghafar Abu Bakar, jadi secara tak langsung saya juga kenal dengan rakan-rakan beliau,” katanya.

Katanya, beliau mengambil kesempatan untuk hadir semalam kerana suaminya akan mula bertugas, malam tadi.

“Istiadat sebelum ini saya tidak sempat ke sini, kerana pada ketika itu suami saya sedang bertugas,” kata- nya. — Bernama

Advertisement