Anda di sini

Pasukan penyiasat akan kembali ke lokasi nahas

Advertisement

SEPANG: Malaysia akan memperkukuhkan hubungan dengan negara dan pihak berkaitan bagi melorongkan pasukan penyiasat dan pasukan keselamatan Malaysia kembali ke lokasi nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di timur Ukraine, untuk mencari mangsa yang masih belum ditemui.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata lokasi nahas merupakan kawasan bergolak dan ‘bukan macam dulu lagi’ kerana ia melibatkan peperangan dan pertembungan geopolitik yang amat dahsyat di Ukraine.

“Kita terpaksa berbincang dengan agensi-agensi risik. Kita kena perkukuhkan hubungan bukan sahaja negara-negara barat, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), kerajaan Ukraine, pihak pemisah, Rusia dan Amerika Syarikat kerana tidak banyak negara mampu mengimbangi kepentingan semua pihak.

“Kalau kita berpegang kepada niat dan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada keluarga, bahawa kita akan buat apa sahaja untuk cuba mendapatkan seramai mungkin (jenazah) MH17 kembali ke tanah air, kita akan lakukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Penghormatan Jenazah Mangsa Tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini semalam.

Istiadat penghormatan untuk sembilan jenazah mangsa tragedi MH17 dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, menteri-menteri kabinet, waris serta anggota keluarga mangsa.

Hishammuddin berkata kerajaan Malaysia akan melakukan apa sahaja yang termampu untuk memastikan pasukan penyiasat dan pihak keselamatan Malaysia kembali ke lokasi nahas.

“Saya sempat berbual dengan Najib (Perdana Menteri) sebentar tadi dan beliau cukup komited dalam perkara ini,” katanya.

“Ia satu keajaiban, kalau kita berjaya kerana di ia kawasan peperangan tetapi kita telah melakukan perkara yang mustahil sebelum ini. Kalau kepimpinan negara tidak berusaha, kalau perdana menteri sendiri tidak berjumpa dengan pihak-pihak berkepentingan, saya rasa istiadat hari ini tidak berjalan.

“Kalau semua pihak bersetuju untuk melakukan gencatan senjata untuk membolehkan pasukan penyiasat masuk semula ke lokasi nahas, tak perlu kita pantau secara dekat dari konteks Kementerian Pertahanan dan ketenteraan,” katanya.

Ditanya sama ada Malaysia akan berunding dengan pihak berkaitan untuk kembali ke lokasi nahas, Hishammuddin berkata :”Ini cukup sensitif”.

Hishammuddin berkata kerajaan Malaysia juga akan meneruskan usaha untuk menuntut keadilan bagi mangsa dan keluarga tragedi yang tidak berdosa.

“Keadilan untuk MH17 mesti diteruskan,” katanya. Sementara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang turut ditemui selepas istiadat itu berkata pihak berkuasa di Belanda sedang berusaha mengenal pasti kesemua jenazah penumpang MH17.

“Kita perlu bekerja keras untuk mencari semua mayat, termasuk memasuki ke lokasi nahas sekali lagi untuk mencari mayat dan juga serpihan pesawat serta mengenal pasti lebih banyak bukti tragedi ini,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 587 bahagian badan masih dalam proses pengecaman di Kem Perubatan Tentera Hilversum, Belanda.

Sehingga kini, 183 jenazah telah dikenal pasti, katanya.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh di timur Ukraine, pada 17 Julai.

Namun, sehingga kini masih belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab.

Sebanyak 43 warga Malaysia berada di dalam pesawat Boeing 777-200 itu dan setakat ini, 32 jenazah mangsa tragedi warga Malaysia telah dikenal pasti dengan 31 daripadanya telah dibawa pulang ke Malaysia. — Bernama

Advertisement