Anda di sini

Jurugambar cedera akibat ditumbuk waris mangsa MH17

Advertisement

CEDERA: Aizuddin menunjukkan kamera DSLR kepunyaan beliau yang pecah akibat disentap sehingga jatuh dan ditumbuk oleh seorang lelaki yang dipercayai waris tragedi MH17 ketika membuat liputan di Nirvana Memorial Center, Sungai Besi di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Suasana suram bertukar menjadi kecoh seketika apabila seorang keluarga mangsa pesawat malang MH17 bertindak mengasari pihak media di Pusat Peringatan Nirvana Sungai Besi di sini, semalam.

Waris mangsa yang menghalang media daripada membuat liputan, hilang kawalan sehingga menumbuk muka seorang jurugambar, menyebabkan kameranya jatuh dan rosak sebelum menghalau pihak media dari tempat berkenaan.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi itu, jurugambar New Straits Times (NST) Mohd Aizuddin Akmal Saad, 29, berkata pada mulanya, kameranya terjatuh dan rosak setelah beliau dipercayai ditolak dalam cubaan anggota keluarga tersebut menghalang media membuat liputan.

Bagaimanapun, kata Mohd Aizuddin, apabila beliau cuba menunjukkan kameranya yang rosak itu kepada rakan media lain, tiba-tiba seorang lelaki terus menumbuk mukanya mengakibatkan kameranya terjatuh sekali lagi.

“Saya terus ditumbuk sehingga hidung saya berdarah dan kamera saya pecah akibat jatuh sewaktu saya cuba untuk mengelaknya,” kata Aizuddin kepada pemberita di sini.

Mohd Aizuddin kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Besi selepas mendapat rawatan di sebuah klinik berhampiran Jalan Kuchai Lama di sini.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh di timur Ukraine, pada 17 Julai.

Sebanyak 43 warga Malaysia berada di dalam pesawat Boeing 777-200 itu dan setakat ini, 32 jenazah mangsa tragedi warga Malaysia telah dikenal pasti dengan 31 daripadanya telah dibawa pulang ke Malaysia. — Bernama

Advertisement