Anda di sini

Isteri Kapten Wan Amran Wan Hussin bersyukur jenazah selamat dikebumi

Advertisement

SHAH ALAM: Isteri Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin bersyukur apabila jenazah suaminya selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Seksyen 21 di sini semalam pada ulang tahun kelahirannya yang ke-50.

Mariam Yusoff ketika ditemui berkata walaupun sedih dengan pemergian suaminya itu, namun beliau serta dua anak lelakinya amat bersyukur sekurang-kurangnya jenazah Allahyarham suami-nya akhirnya dapat dibawa pulang ke tanah air.

“Saya rasa amat bersyukur kerana hari ini 2 September, jenazah suami saya sampai…hari ini hari (semalam) ulang tahun kelahirannya dan dia selamat dikebumikan.

“Pagi tadi (semalam) masa sampai hari hujan, saya anggap sebagai hujan rahmat sebab lepas jenazah masuk van (jenazah), hujan terus berhenti…rahmat Allah kan,” katanya di sini semalam.

Jenazah juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 itu selamat dikebumikan kira-kira jam 11.50 tengah hari.

Allahyarham Wan Amran meninggalkan dua anak lelaki iaitu Wan Yusuf Irfan, 9 tahun serta Wan Yunus Uzair, 11 tahun.

Sementara tu, adik Allahyarham Wan Amran, Wan Ahmad Khairul Wan Hussin pula berkata beliau berharap keluarga mangsa Penerbangan MH17 yang lain agar terus tabah dan kuat menghadapi dugaan.

“Semua kita akan menghadapi mati, cuma bila dan bagaimana kita mati yang kita tidak tahu…kami sekeluar-ga sangat bersyukur sebab jenazah selamat dikebumikan hari ini (semalam), sama dengan tarikh kelahirannya,” katanya. — Bernama

Advertisement