Anda di sini

Ibu pembantu juruterbang MH17 reda pemergian anak

Advertisement

TELUK INTAN: “Mak cik reda dengan pemergian Firdaus, sebagai ibu, mak cik terima ketentuan Allah,” luah Fatimah Ibrahim, ibu pembantu juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, Muhammad Firdaus Abdul Rahim.

Fatimah, 64, pesara kerajaan berkata Firdaus, 27, adalah seorang anak yang baik dan pemergiannya amat dirasai seluruh keluarganya memandangkan beliau merupakan anak bongsu daripada lima beradik.

“Seminggu sebelum dia (Firdaus) ‘fly’ (terbang) ke Amsterdam, dia ada jumpa mak cik, tapi dia tidak menunjukkan apa-apa perubahan pun, semuanya macam biasa sahaja.

“Masa itu dia minta mak cik masak daging dinding dan ayam masak merah yang merupakan makanan kegemaran arwah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Menceritakan kenangan manis bersama Allahyarham, Fatimah berkata Firdaus merupakan anak yang baik dan manja sejak dari kecil lagi.

Bagaimanapun, mereka sekeluarga tidak berpeluang untuk melihat jasad Firdaus buat kali terakhir, kata Fatimah.

“Dua abang dan kakak Firdaus telah pergi ke Amsterdam namun mereka tidak diberi peluang untuk melihat jasad arwah,” katanya.

Sementara itu, sepupu Firdaus, yang merupakan juruterbang MAS, Mohd Mizan Mohd Mahidin, 32, berkata beliau masih bersedih dan terkejut dengan insiden yang menimpa Firdaus.

“Sebagai sepupu dan rakan sekerja rasa sedih, kami sama-sama sebagai juruterbang, kami telah dilatih untuk mengawal keadaan tapi dalam situasi begini ia satu perasaan yang sangat sedih dan sukar untuk diterima.

“Tapi sekarang ini, kesian kepada mak, isteri dia serta anak yang bakal dilahirkan itu. Semoga isterinya tabah,” katanya.

Difahamkan isterinya, Norzarith Zaaba, 27, yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia kini mengandung tiga bulan anak pertama hasil perkahwinannya dengan Firdaus sejak setahun lepas.

Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat tiba di pekarangan padang di Jalan Speedy dekat sini untuk memberi penghormatan kepada jenazah.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli, barisan Exco kerajaan negeri, anggota keluarga serta orang ramai.

Jenazah Allahyarham yang diterbangkan dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur selamat mendarat dengan menaiki pesawat Eurocopter EC 725 di padang itu pada jam 10.15 pagi

Jenazah Allahyarham Firdaus diusung dan dibawa masuk ke dalam van jenazah oleh 15 anggota tentera yang terdiri daripada Rejimen 503 Askar Wataniah dan Markas 2 Skuadron Semboyan Diraja Ipoh.

Allahyarham Firdaus kemudiannya dibawa ke Masjid Al-Naim, Taman Seri Setia untuk disembahyangkan oleh imam masjid berkenaan iaitu Abdul Rahman Abdul Razak sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Daerah Hilir Perak, Jalan Sultan Abdullah untuk dikebumikan pada 12 tengah hari.

Jenazah Firdaus selamat disemadikan berdekatan dengan kubur arwah ayahnya yang meninggal dunia pada tahun 2000.

Semasa upacara pengebumian, rakan seperjuangan Allahyarham Firdaus turut hadir memberi penghormatan dan memberi kata semangat kepada anggota keluarga arwah.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika terhempas di timur Ukraine, pada 17 Julai lepas.

Ia dipercayai ditembak jatuh namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab. — Bernama

Advertisement