Anda di sini

Ambang Merdeka 1Singai Tondong

Advertisement

Oleh Agnes Tugong

 

DETIK KEMERDEKAAN: Ik Pahon (kanan), Henry (dua kanan) serta yang lain menanti detik kemerdekaan tepat jam 12 tengah malam di pusat komersial 1Singai Tondong.

RIBUAN masyarakat Bidayuh dari sekitar Singai dekat Bau memenuhi pekarangan pusat komersial 1Singai Tondong malam Ahad lepas bagi sambutan Ambang Merdeka.

Tepat jam 12 tengah malam, laungan Merdeka bergema di pusat komersial ini disertai percikan bunga api yang mewarnai dan menerangi kegelapan malam sebagai meraikan kemerdekaan negara yang ke-57.

Sambutan ambang merdeka di 1Singai Tondong tambah bermakna dengan kehadiran Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Datu Ik Pahon Joyik yang juga Presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) serta isteri Datin Gloria Gembong.

Turut menyertai Ik Pahon di pentas utama Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Putra Sentosa Henry Harry Jinep selaku penganjur utama bagi acara Pesta Merdeka 1Singai yang berlangsung mulai 29 hingga 31 Ogos.

Berkonsepkan promosi, perniagaan, hiburan dan permainan, selain meraikan kemederkaan negara pesta ini juga bertujuan mewujudkan peluang perniagaan kepada penduduk sekitar seterusnya mempergiatkan sosio-ekonomi penduduk setempat.

Antara aktiviti utama yang diadakan sepanjang berlangsungnya pesta ini ialah gerai jualan, cabutan tiket bertuah, pertandingan ratu cantik, pertunjukan tarian tradisional, live band, seni mempertahankan diri, pertunjukan motosikal berkuasa tinggi, ‘street soccer’ dan takraw, karaoke dan ambang merdeka.

Pesta ini akan diadakan pada setiap tahun dan pemaju berhasrat untuk menjadikannya program jangka masa panjang selama 10 tahun.

Pusat komersial 1Singai Bandar Baru Tondong telah siap sepenuhnya dan disempurnakan perasmiannya pada 22 Jun 2014 oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Projek pembangunan komersial 1Singai Tondong terbahagi kepada tiga peringkat iaitu fasa pertama melibatkan 11 unit lot kedai dua tingkat, fasa kedua, sembilan unit lot kedai dua tingkat dan fasa ketiga yang kini dalam perancangan.

Potensi untuk pembangunan komersial di 1Singai Tondong telah menampakkan petanda yang amat memberangsangkan serta sungguh tidak diduga lima daripada 11 unit kedai yang diusahakan membuktikan bahawa usahawan Bumiputera mempunyai daya saing jika diberi peluang.

Dalam pada itu, majlis perasmian Pesta Merdeka 1Singai Tondong telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong pada 29 Ogos lepas.

Advertisement