SEREMBAN: Abu mayat juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, Kap-ten Eugene Choo Jin Leong akan disimpan di Taman Peringatan Xiao En di Nilai, Khamis ini.
Wakil keluarga Choo, Jacob Lim, 44, berkata sebelum itu abu mayat Choo akan diletakkan di kediamannya di Sri Carcosa, dekat sini selama tiga hari untuk upa-cara keagamaan dan penghormatan terakhir daripada anggota keluarga dan sahabat handai.
“Mengikut upacara keagamaan Buddha, kebiasaannya kami akan meletakkan mayat ataupun abu mayat selama tiga hari untuk memberi peluang kepada rakan-rakan dan anggota keluarga memberi penghormatan terakhir,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman Choo di sini, semalam.
Taman Peringatan Xiao En dahulunya dikenali Taman Peringatan Nilai.
Lim berkata beliau bagi pihak keluarga mendiang mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang berjaya membawa pulang abu mayat Choo dengan selamat.
“Meskipun dalam keadaan sedih dan pilu dengan pemergian suami dan bapa kepada dua anak lelaki itu, isterinya juga turut melahirkan rasa terharu kerana mendiang suaminya selamat ditemui dan abu mayatnya dapat dihantar pulang ke tanah air,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Senator Chong Sin Woon yang turut hadir memberikan penghormatan terakhir berkata MCA sedia membantu anggota keluarga Choo sekiranya perlu.
“Sekirannya mereka memerlukan apa-apa bantuan seperti kaunseling dan sebagainya, kami akan sedia membantu mereka dan saya sudah memaklumkannya kepada anggota keluarganya ketika memberi salam takziah kepada kedua ibu bapa Eugene (Choo),” katanya.
Choo merupakan seorang kapten pesawat MH17 yang ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas.
Abu mayat beliau bersama-sama dengan sembilan jenazah mangsa yang lain selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Armsterdam pada jam 8.25 pagi semalam.
Abu mayat Choo tiba di kediamannya pada jam 10.25 pagi.
Choo meninggalkan seorang isteri Ivy Loi, 42, dan dua orang anak lelaki Melvic Choo, 13, dan Scott Choo, 10.
Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal itu sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dan sehingga sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap tragedi itu. — Bernama