Anda di sini

Tiga negara setuju penyeragaman media dalam salur maklumat pencarian MH370

HULU TERENGGANU: Tiga negara utama – Malaysia, China dan Australia yang terlibat dalam misi pencarian penerbangan MH370 Malaysia Airlines bersetuju melaksanakan penyeragaman media dalam menyalurkan maklumat bagi memastikan urusan pencarian tidak terganggu, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Komunikasi dan Media Insiden MH370 berkata penyeragaman media adalah antara kata sepakat yang dicapai antara tiga negara berkenaan supaya tiada percanggahan fakta berlaku dalam laporan misi pencarian itu.

“Untuk itu, kita meletakkan dua orang pegawai di Canberra, Australia untuk sentiasa menyampaikan maklumat terkini kepada Malaysia dan memantau setiap perkembangan terbaharu pencarian.

Selain itu, ketiga-tiga negara tersebut juga akan sentiasa berhubung melalui sidang video yang akan dilakukan setiap hari untuk maklumat terbaharu MH 370,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan Sedunia peringkat negeri Terengganu di Dataran Kuala Berang di sini semalam.

Selain itu beliau menyifatkan lawatan kerjanya ke Australia bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada minggu lepas sebagai amat berjaya berikutan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) dengan Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss berhubung pelbagai aspek ke arah mengukuhkan lagi kerjasama dalam mencari pesawat malang itu.

“Pencarian MH 370 ketika ini juga masih tertumpu di bahagian selatan (Lautan Hindi), seperti yang dimaklumkan Australia.

Walaupun tiada petunjuk terbaharu, kita tetap komited dalam usaha ini dan berharap semua rakyat Malaysia sama-sama mendoakan kejayaan pencarian ini,” katanya.

MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) ke Beijing pada jam 12.41 tengah malam, 8 Mac lepas. — Bernama