Anda di sini

Tiga bekas abu mayat MH17 tiba di Pulau Pinang

Advertisement

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang membuat persiapan rapi untuk menyambut tiga bekas abu mayat tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 mengikut istiadat penghormatan.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata ketiga-tiga bekas abu mayat itu akan tiba dalam dua masa yang berlainan hari ini.

Beliau berkata pada awalnya pengerusi jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh diberi tanggungjawab untuk mengurus penerimaan bekas abu mayat itu.

Bagaimanapun kerajaan negeri kini melantik dua exco lain iaitu Chong Eng dan Jagdeep Singh untuk mengambil alih tanggungjawab itu berikutan Phee ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung isu Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang, katanya.

“Saya bersama barisan exco kerajaan negeri akan hadir di lokasi ketibaan untuk menyambut kepulangan abu mangsa MH17,” katanya selepas mempengerusi mesyuarat tergempar exco Pulau Pinang di sini semalam.

Lim berkata dua bekas abu akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada jam 10.15 pagi manakala satu lagi akan tiba di padang Sekolah Menengah Machang Bubok, Bukit Mertajam kira-kira 1.30 tengah hari.

Terdahulu, kerajaan negeri mengadakan raptai istiadat penghormatan penerimaan mayat MH17 di Jabatan Penerbangan Awam di Bayan Lepas. — Bernama

Advertisement