Anda di sini

Tembikar Mambong gamit pelancong ke Kuala Krai

Advertisement

Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

 

CANTIK BERKILAT: Siti Azah menyusun sebahagian tembikar kecil yang sudah siap yang dijual dengan harga antara RM2 hingga RM50 sebuah dan bergantung kepada bentuk serta saiz. — Gambar Bernama

PERUSAHAAN tembikar di Kuala Krai, yang dikenali sebagai tembikar Mambong, dilihat mampu menyemarakkan Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014).

Tembikar Mambong mengambil nama sempena Kampung Mambong, yang terletak di pinggir Sungai Kelantan dalam jajahan Kuala Krai.

Untuk sampai ke kampung Mambong, yang terletak kira-kira 18 kilometer dari bandar Kuala Krai, pengunjung tiada pilihan laluan mudah melainkan menaiki sampan atau bot penambang menyusuri Sungai Kelantan selama 45 minit.

Namun berbaloi kerana pengunjung akan merasai pengalaman baharu dengan melihat persekitaran kiri dan kanan tebing Sungai Kelantan dengan keindahan flora dan fauna.

Jika menggunakan jalan darat ia lebih jauh dan mengambil masa yang agak lama untuk sampai ke kampung itu.

Penulis yang berpeluang melawat Kampung Mambong bersama sekumpulan pengunjung baru-baru ini, sebaik tiba dengan bot penambang disambut mesra oleh penduduk kampung yang ramah.

Pengunjung berpeluang melihat proses penghasilan tembikar dengan lebih jelas selain dapat memahami proses menghasilkan tembikar Mambong.

Antara produk yang dihasilkan ialah belanga, periuk, buyung, dan labu air.

Perusahaan tembikar Mambong ini dikatakan wujud lebih 50 tahun lepas dan kini masih diusahakan oleh penduduk di kawasan berkenaan.

Tembikar yang diperbuat daripada tanah liat ini perlu melalui beberapa proses yang rumit sebelum siap sebagai barangan hasil kraf yang mempunyai nilai tersendiri.

 

MURAH BERKUALITI

 

Tembikar Mambong mempunyai keunikan yang tersendiri kerana perlu dibentuk dan dibakar terlebih dahulu bagi mengekalkan rupa bentuk tembikar serta memastikan ia mempunyai kekuatan yang lebih dan kalis air.

Seorang pengusaha Siti Azah Yaacob, 42, berkata terdapat pelancong dari dalam dan luar negara yang datang untuk melihat proses pembuatan tembikar Mambong.

“Memang ada beberapa pelancong asing yang datang untuk melihat proses pembuatan tembikar, kami ada ajar mereka dan kebiasaannya mereka datang pagi kemudian balik pada waktu petang,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Siti Azah berkata tembikar yang dihasilkannya dijual dengan harga antara RM2 hingga RM50 sebuah dan bergantung kepada bentuk serta saiz.

“Saya menggunakan tangan untuk menghasilkan tembikar ini kerana saya lebih selesa menggunakan kaedah tradisional berbanding mesin,” katanya.

Kualiti tembikar Mambong memang tidak boleh dinafikan kerana rata-rata pengusahanya masih menggunakan kaedah tradisional untuk menghasilkannya.

Seorang lagi pengusaha Halimah Said, 58, berkata beliau menghasilkan tembikar dengan tangan kerana tidak mahir mengguna mesin.

“Kalau guna mesin memang cepat tetapi saya menggunakan tangan kerana ia lebih baik dan berkualiti,” katanya.

Halimah berkata, apa yang membezakan tembikar Mambong dengan tembikar tradisional lain adalah tanah liat yang digunakan mampu mengeluarkan kilauan yang tersendiri.

“Kami semua menggunakan tanah liat yang diambil dari Kampung Bahagia yang terletak kira-kira dua kilometer dari Kampung Mambong.

“Ini kerana tanah liat di tempat itu mempunyai ciri-ciri tersendiri dan secara tidak langsung menyebabkan terdapat kilauan pada tembikar yang dihasilkan, saya dah cuba hasilkan tembikar menggunakan tanah liat dari tempat lain tetapi ia tidak menjadi,” katanya.

 

PERLU DIPELIHARA

 

Halimah berkata, tanah liat dari tempat lain juga jika dijadikan tembikar tidak boleh bertahan lama dan mudah pecah ketika dibakar.

“Ternyata tanah liat di tempat lain tidak sesuai,” katanya.

Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan Nik Mohd Hasanuddin Nik Hussain berkata, perusahaan tembikar mampu merancakkan TMM 2014 selain memperkenal Kuala Krai sebagai satu daripada destinasi pelancongan.

“Ia satu perkara yang bagus kerana pelancong dapat melihat keindahan semula jadi yang terdapat di jajahan Kuala Krai selain dapat memperkenalkan perusahaan itu di mata dunia,” katanya.

Pengerusi Jawatan-kuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Datuk Md Anizam Abdul Rahman sebelum ini berkata, pihaknya menyasarkan kedatangan 6 juta pelancong ke Kelantan sempena TMM 2014.

Md Anizam juga berkata, 30 peratus daripada 5.2 juta pelancong yang melawat Kelantan tahun lepas adalah pelancong luar negara.

Perusahaan Tembikar Mambong ini perlu dipelihara kerana ianya dilihat semakin tenggelam dek kerana kurangnya generasi muda yang berminat untuk mengusahakannya.

Tinjauan Bernama juga mendapati kebanyakan pengusaha tembikar Mambong terdiri daripada golongan berumur.

Ini diakui oleh Halimah yang berkata, golongan muda tidak lagi berminat untuk menceburi bidang ini dan mereka lebih suka bekerja di tempat berhawa dingin.

Oleh itu, kerajaan perlu memberi nafas baru agar perusahaan pembuatan produk kraf tradisional ini terus berkembang, menarik kunjungan pelancong dan menjana pertumbuhan projek hiliran yang lain. — Bernama

Advertisement