Anda di sini

Puerto Princesa destinasi terbaharu pelayaran SuperStar Aquarius

Advertisement

Oleh SURAIDAH ROSLAN

KOTA KINABALU: Melihat adanya potensi bagi pelayaran dari Kota Kinabalu ke Bandar Puerto Princesa, Kapal Pelayaran terkemuka Asia Pasific, Star Cruises menerusi SuperStar Aquarius akan memulakan pelayaran di laluan berkenaan bermula November akan datang.

Laluan terbaharu itu adalah seiring dengan kembalinya SuperStar Aquarius yang akan berpangkalan di Kota Kinabalu bagi tempoh kira-kira empat bulan bermula dari 8 November hingga 1 Mac 2015.

Seiring dengan pengenalan laluan terbaharu itu, Star Cruises akan menawarkan pakej percutian terbaharu atas kapal melibatkan pakej 4H/3M (empat hari/tiga malam) Kota Kinabalu ke Bandar Puerto Princesa, pakej percutian dua malam berlayar atas kapal (ditawarkan pada minggu tertentu) serta pakej berlayar semalaman atas kapal SuperStar Aquarius.

Pelayaran ke Bandar Puerto Princesa yang terletak di Pulau Palawan, Filipina itu dibuat berikutan potensi bandar itu yang semakin menjadi pilihan utama pelancong dari seluruh dunia.

Dengan adanya tempat-tempat menarik termasuk Taman Negara Sungai Subraterranean Puerto Princesa yang mendapat pengiktirafan Tapak Warisan Dunia Unesco, pelayaran kapal ke Bandar Puerto Princesa sudah pasti mampu mendapat maklum balas yang memberangsangkan.

Sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban dunia, taman itu memiliki sumber alam yang cantik seperti hutan simpan, pantai pasir putih, pelbagai spesis hidupan liar yang terancam, gua serta sungai bawah tanah terpanjang di Laut China Selatan, iaitu sepanjang 8.2km.

Selain Taman Negara itu, Pulau Palawan juga mempunyai pantai yang cantik seperti Honda Bay. Pantai itu menjadi destinasi tumpuan pelancong yang ingin snorkeling dan menyelam.

Terdapat juga beberapa pulau menarik untuk dikunjungi di pulau berhampiran Honda Bay seperti Starfish Island, Lu-li Island dan Pandan Island.

Dengan pelbagai tarikan pelancongan di Bandar Puerto Princesa itu laluan pelayaran kapal SuperStar Aquarius itu dijangka mampu mendapat respon yang baik bagi pelancong tempatan serta pelancong antarabangsa yang inginkan percutian menaiki kapal pelayaran mewah.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web www.starcruises.com.

Advertisement