Anda di sini

Polis tahan Rayer bantu siasatan kes PPS

Advertisement

GEORGE TOWN: Polis semalam menahan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima RSN Rayer bagi membantu siasatan berhubung Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang yang ditubuh kerajaan negeri pimpinan DAP itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata Rayer yang merupakan pengerusi PPS di kawasan Seri Delima ditahan pada jam 6 petang ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini.

“Saya juga difahamkan Rayer merupakan timbalan Pengerusi PPS Pulau Pinang, kami tahan beliau ketika hadir menguruskan pembebasan anggota PPS yang ditahan reman,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini semalam.

Mior Faridalatrash berkata sehingga jam 6.30 petang semalam, polis telah membebaskan 30 anggota PPS termasuk Pengerusinya Phee Boon Poh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri.

“Kami menjangkakan akan membebaskan semua anggota PPS yang ditahan malam ini (malam tadi),” katanya.

Kelmarin, polis menahan 156 anggota PPS termasuk Phee kerana ingkar amaran supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti selepas pasukan itu didapati tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

Dua puluh satu daripada mereka dibebaskan malam kelmarin manakala selebihnya direman sehari semalam. — Bernama

Advertisement