Anda di sini

Pembangunan Malaysia tidak lengkap tanpa Sabah

Advertisement

KOTA KINABALU: Pembangunan Malaysia tidak lengkap tanpa Sabah, kerana tanpa hasil yang diperolehi daripada sumber aslinya tidak memungkinkan negeri seperti Kedah dapat membangun, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir semalam.

“Sama juga dengan Kedah yang mengeluarkan beras untuk semua negeri termasuk Sabah pada harga subsidi bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan rakyat di negara ini,” katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Penampang di sini.

Mukhriz, yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO, berkata amalan bantu-membantu antara negeri-negeri di Malaysia dipraktikkan sejak merdeka lagi.

Katanya, ini kerana para pemimpin terdahulu telah memberi formula perpaduan bagi menjamin kemajuan bersama rakyat di negara ini.

Beliau turut mengingatkan anggota UMNO Penampang untuk terus mengukuhkan perpaduan bagi memastikan rakyat terus menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Saya bukan orang yang sesuai berkata mengenai perpaduan kepada orang Sabah kerana Sabah lebih tahu erti perpaduan kerana mempunyai lebih banyak suku kaum dan agama tetapi saya berharap amalan kesepakatan di kalangan anggota UMNO diteruskan. Jika tiada kesepakatan, rakyat akan tolak kita,” katanya. — Bernama

Advertisement