Anda di sini

Pasukan tidak berdaftar akan dikenakan tindakan

Advertisement

LAUNGAN MERDEKA: Ahmad Zahid (tiga kanan) melaung slogan Merdeka selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Segambut Tahun 2014 di Kementerian Dalam Negeri di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama Ketua Umno Bahagian Segambut Datuk Kamaruddin Ambok (tiga kiri) dan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (dua kanan. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mana-mana pasukan atau pertubuhan yang tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) akan dikenakan tindakan sama seperti terhadap Pasukan Peronda Sukarela (PPS) di Pulau Pinang kelmarin.

Beliau tidak pula menyebut nama pasukan atau pertubuhan terlibat. Tetapi ada antara pasukan itu ditubuhkan di bawah payung parti politik ditugaskan membantu menjaga keselamatan dan lalu lintas semasa berlangsung program-program anjuran parti berkenaan.

Ahmad Zahid mengulas mengenai penahanan 154 orang anggota PPS itu, pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Segambut, di sini semalam.

Menteri itu berkata, kementeriannya dan beberapa kementerian lain telah mempunyai badan-badan sukarela yang ditubuhkan untuk membantu pihak polis menjaga keamanan negara.

Katanya, di bawah kementeriannya, terdapat pasukan seperti Pasukan Relawan Malaysia (RELA), selain Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Kalau mahu menjaga soal keselamatan kita ada RELA, ada program Community Policing, kita ada Rakan Cop yang boleh membantu dan pasukan Rukun Tetangga…tidak perlu menubuhkan pertubuhan lain,” katanya.

Beliau menambah, soal menjaga keselamatan terletak di bawah kerajaan persekutuan seperti yang termaktub dalam perundangan dan perlembagaan negara dan bukannya bidang kuasa kerajaan negeri.

Menyentuh soal penahanan anggota PPS itu, Ahmad Zahid berkata ia dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang selepas ROS mengeluarkan surat rasmi yang menyatakan bahawa pertubuhan itu tidak berdaftar dengannya.

“Walaupun pihak polis mengalu-alukan semua individu dan organisasi serta pihak tertentu untuk membantu polis di dalam menjaga keamaan, tetapi pendekatan untuk mencabar polis bukan sesuatu yang bijak.

“Tentu sekali apa yang sedang berlaku itu (penahanan anggota PPS) adalah akibat daripada tindakan mencabar undang-undang yang sedia ada,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, berdasarkan laporan yang diterima pihak polis, terdapat di kalangan anggota PPS yang melakukan tindakan di luar batas seperti memukul, mengugut dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang ramai.

Khamis lepas, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan bahawa kerajaan Persekutuan tidak membenarkan mana-mana negeri menubuhkan pasukan keselamatan mereka sendiri kerana soal keselamatan adalah tanggungjawab kerajaan Persekutuan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini turut mengeluarkan kenyataan bahawa PPS adalah pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata tindakan polis menahan anggota PPS itu tidak keterlaluan, setelah pasukan itu dilihat seolah-olah mengambil alih tugas pihak polis dalam menjaga keselamatan Pulau Pinang.

“Dalam kes ini dia dah jadi pasukan berstruktur yang beruniform, siap ada pangkat lagi.

“Bila dah ada pangkat dan tak berdaftar sebagai pertubuhan yang sah dan rasmi dan melaksanakan kerja-kerja seperti kawalan keselamatan, mengawal lalu lintas dan sebagainya saya rasa itu adalah satu kesalahan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai program senamrobik anjuran radio Era FM di sini, semalam.

Khairy berkata tidak salah menjaga keselamatan awam, namun sebaiknya, pasukan-pasukan berkenaan perlu didaftar.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mempertahankan penubuhan pasukan itu dan menarik perhatian bahawa penubuhannya di bawah kuasa kerajaan negeri adalah sah sama seperti penubuhan Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung (JKKK). — Bernama

Advertisement