Anda di sini

Najib bangga dengan rakyat Malaysia yang begitu megah kibarkan Jalur Gemilang

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berbangga dengan rakyat Malaysia yang begitu megah mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan.

“Tidak ada cara yang lebih baik untuk menunjukkan budaya kecemerlangan!,” kata beliau dalam catatan terbaharunya menerusi laman Facebook.

Najib juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Nicol David atas kejayaannya merangkul kejuaraan Terbuka Hong Kong untuk kali kesembilan, Juara Remaja Dunia kickboxing Santhia Subramaniam dan pasukan Harimau Muda Bawah 16 Tahun kerana menjuarai Piala Juara-Juara Asia 2014 selepas menundukkan PVF Vietnam kelmarin.

“Tahniah kepada Datuk Nicol David, pemain nombor satu dunia yang tidak dapat dipertikaikan atas kejayaan merangkul kejuraan Terbuka Hong Kong untuk kali kesembilan.

“Syabas juga kepada Santhia Subramaniam, 18, Juara Remaja Dunia dalam kickboxing! Keseluruhan pasukan kickboxing Malaysia menunjukkan persembahan yang cemerlang di London.

“Tahniah kepada skuad Harimau Muda Bawah 16 Tahun kerana merangkul Piala Juara-Juara Asia. Biarlah kemenangan ini memberi motivasi kepada anda untuk mencapai kejayaan lebih baik dalam kejohanan-kejohanan akan datang,” kata beliau.

Najib juga berharap rakyat Malaysia akan terus memberi sokongan kepada pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei dan atlet lain yang melakukan usaha terbaik untuk negara tercinta.

“Datuk Lee Chong Wei hampir menjuarai Kejohanan Badminton Dunia. Saya tahu beliau mahu kemenangan ini dengan apa cara sekalipun tetapi malangnya ia tidak menjadi,” kata beliau. — Bernama

Advertisement