Anda di sini

Mekanik maut motosikal yang ditunggangi hilang kawalan

Advertisement

DUNGUN: Seorang mekanik maut selepas motosikal yang ditungganginya hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan dalam satu kemalangan di Kilometer 64.7 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Kuala Abang di sini pagi semalam.

Mangsa Mohd Fahmy Ifdzal Mohd Zaki, 19, yang cedera parah maut ditempat kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu mangsa yang menunggang motosikal jenis Naza dalam perjalanan dari Bandar Dungun menuju ke Kuala Terengganu.

Namun ketika tiba di tempat kejadian motosikal yang ditunggang remaja berkenaan dipercayai terbabas ke kanan jalan lalu bergesel dengan pembahagi jalan menyebabkannya melambung dan merempuh sebatang tiang lampu di tengah jalan berkenaan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya mayat mangsa yang berasal dari Kampung Pak Pa, Kuala Terengganu dihantar ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat. — Bernama

Advertisement