Anda di sini

Kerajaan P.Pinang tangguh aktiviti PPS sehingga keputusan mahkamah

Advertisement

GEORGE TOWN: Semua aktiviti Pasukan Peronda Sukarela (PPS) di negeri ini akan ditangguh sehingga keputusan mahkamah dibuat tentang kesahihannya.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri telah membincangkan perkara itu dalam mesyuarat exco dan keputusan itu mendapat sokongan 30 anggota dewan undangan negeri daripada DAP, PKR dan PAS.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar exco Pulau Pinang di sini semalam, beliau berkata kerajaan negeri akan menyediakan bantuan guaman dan kewangan untuk membantu 156 anggota PPS yang ditahan.

Ini, katanya, termasuk exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar yang merupakan pengerusi PPS, Phee Boon Poh yang ditahan untuk menghadapi proses perundangan.

Kelmarin, polis menahan 156 anggota PPS termasuk Phee bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Lim turut menafikan sama sekali kenyataan polis bahawa terdapat anggota PPS yang gagal ujian air kencing dan didapati positif dadah.

Beliau berkata anggota PPS yang positif dadah itu merupakan anggota berusia 60 tahun ke atas dan telah mengambil ubat sebelum ujian air kencing.

“Biasalah, warga emas yang lebih 60 tahun pasti akan makan ubat dan makan ubat yang sedemikian tentu tidak lulus ujian air kencing,” katanya.

Lim juga menegaskan bahawa PPS adalah sebuah badan yang sah diluluskan oleh kerajaan negeri menerusi mesyuarat exco pada 8 April, 2009 dan cara PPS diluluskan adalah sama dengan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung yang ditubuhkan kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri akan mengambil tindakan keras ke atas mana-mana perlakuan tidak berdisiplin atau bersifat jenayah yang melibatkan anggota PPS,” katanya. — Bernama

Advertisement