Anda di sini

Gelombang keamanan perlu diwujudkan: Hishammddin

Advertisement

JEMPOL: Gelombang keamanan perlu diwujudkan dan digerakkan untuk memberi kesedaran kepada generasi muda menghadapi pergolakan dunia yang tidak menentu.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata usaha itu adalah untuk memberi kesedaran kepada pihak-pihak yang rakus dan ego dalam situasi dunia yang penuh dengan penindasan dan pembunuhan.

“Ia adalah penting untuk kita di Malaysia dalam konteks masyarakat majmuk yang masih lagi hidup dalam harmoni dan telah meraikan 57 tahun merdeka. Gelombang keamanan ini kita kena sedarkan khususnya kepada anak-anak muda kita bahawa keamanan yang dikecapi negara selama ini ‘tidak datang bergolek dan ia juga tidak datang melayang’.

“Kalau sekiranya ia mendapat sambutan daripada orang ramai, kita boleh dijadikan contoh bahawa kepelbagaian dan perbezaan tidak semestinya menjurus kepada kehancuran. Kita sentiasa melaung-laungkan kekuatan dalam kepelbagaian (bangsa), tetapi di akar umbi adalah penting untuk kita perjelaskan apa maksud kita kepada pergerakan keamanan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Jempol di sini semalam.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata gelombang keamanan ini akan dibuat secara kecil-kecilan dahulu dengan mengatur program seperti derma darah untuk Gaza dan beliau percaya sekiranya dirancang sebaik mungkin ia boleh menjadi gelombang besar.

“Pada tahun 2003 dahulu, saya telah melakukan perkara yang sama di mana kita kumpulkan sejuta tandatangan dan 200,000 orang berhimpun di Stadium Bukit Jalil.

Hishammuddin berkata usaha itu melibatkan setiap lapisan masyarakat memandangkan pada masa itu ia ada kaitan rapat dengan persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 2003.

“Saya lihat bahawa tidak ada sebabnya kita tidak boleh melakukan gerakan keamanan ini apabila Malaysia memimpin ASEAN pada tahun depan. Ini bermakna 10 negara ASEAN ini kalau kita dapat gembelengkan suara anak-anak muda mereka, gerakan keamanan ini dapat dijadikan satu pegangan kita di rantau ini.

Hishammuddin berharap usaha itu mencukupi untuk menyedarkan kepada dunia dan kuasa-kuasa besar bahawa Malaysia bukanlah Timur Tengah, Malaysia bukan Syria, bukan Libya dan bukan Iraq.

“….dan politik kita pun bukan berkisar kepada pembunuhan, kekasaran, demonstrasi, keganasan dan sebagainya. Ia akan kita cuba babitkan pelbagai pihak seperti badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu, bukan hanya berkisar kepada Gaza, tetapi keluarga mangsa MH17 dan MH370.

Hishammuddin berkata beliau sedang memikirkan berhubung kaedah yang terbaik untuk digunakan supaya apa juga bentuk sumbangan boleh disalurkan kepada keluarga mangsa untuk pendidikan anak-anak mereka.

“Malah, kita juga tidak lupa mereka yang telah terkorban di Lahad Datu, Sabah,” katanya. — Bernama

Advertisement