Anda di sini

Empat lelaki indonesia ditahan, syabu RM3.5 juta dirampas

Advertisement

GEORGE TOWN: Empat lelaki rakyat Indonesia ditahan dan syabu bernilai RM3.5 juta dirampas di perairan Barat Daya Tanjung Tokong di sini, Jumaat lepas.

Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 2 Pulau Pinang Kapten (M) Kamaruszaman Abu Hassan berkata rampasan dan tangkapan itu dibuat selepas pemeriksaan terhadap sebuah bot perdagangan tukar barang yang sedang belayar menuju Acheh, Indonesia.

“Bot yang berdaftar di Indonesia itu baru berlepas dari Pelabuhan Kontena Butterworth Utara dalam keadaan mencurigakan dengan muatan 300 guni bawang merah,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata pemeriksaan terhadap bot itu mendapati tempat simpanan bot telah diubah suai dan dadah jenis syabu seberat 16.9 kilogram itu disembunyikan di dalam petak kayu khas yang ditimbuni guni berisi bawang.

Beliau berkata pihaknya percaya dadah dan bawang itu dieksport dari negara ini untuk dipasarkan ke Indonesia.

Kamaruszaman berkata tekong dan tiga awak-awak berusia antara 32 dan 52 tahun yang ditahan itu mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan kesemua mereka direman 12 hari bagi membantu siasatan. — Bernama

Advertisement