Anda di sini

Api puntung rokok bakar tilam

Oleh SITI AISYAH NARUDIN

ASAP tebal keluar dari tingkap bilik hotel berkenaan.

KOTA KINABALU: Gara-gara lupa memadamkan api puntung rokok, sebuah bilik hotel di Kampung Air di sini hampir terbakar.

Asap tebal yang keluar dari bilik terbabit menyedarkan kakitangan hotel untuk bertindak segera memadamkan api yang berpunca dari tilam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang kelmarin, pelanggan bilik di tingkat lima itu terlupa memadamkan api puntung rokoknya hingga mengakibatkan tilam terbakar.

Walaupun api dapat dipadamkan segera, asap tebal akibat dari kebakaran itu menyebabkan pihak hotel mengarahkan semua pelanggan dan kakitangan hotel keluar bagi mengelak sebarang bahaya.

Pasukan bomba yang tiba di kawasan kejadian selesai menjalankan siasatan kira-kira jam 5.30 petang.

Ketika kejadian, pelanggan yang menyewa bilik terbabit tidak berada di bilik dan pihak hotel masih berusaha mendapatkan pelanggan berkenaan.