Anda di sini

Tunjuk patriotisme dengan memakai pelekat Jalur Gemilang pada muka

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pelbagai cara boleh digunakan untuk menyatakan semangat patriotisme mengikut kemahuan seseorang individu, antaranya dengan melekatkan pelekat Jalur Gemilang pada muka.

Anak muda Nur Izzati Ayuni, 14, berasa pemakaian pelekat Jalur Gemilang merupakan satu daripada cara untuk menzahirkan semangat patriotisme dan cinta kepada negara.

“Saya sangat gembira dan teruja untuk turut serta dalam sambutan Hari Kemerdekaan di sini bersama-sama dengan rakyat negara ini,” katanya kepada Bernama pada sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 di Dataran Merdeka, di sini semalam.

Pelajar tingkatan dua SMK Desa Perdana, Kuala Lumpur itu tidak pernah melepaskan peluang untuk menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka sejak beberapa tahun lalu.

“Saya akan datang ke dataran setiap tahun dengan ibu bapa saya untuk menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan. Tetapi tahun ini ibu bapa saya memberi kebenaran untuk datang bersama rakan-rakan saya,” katanya.

Menurut Nur Izzati lagi, setiap satu pelekat Jalur Gemilang itu boleh dibeli dengan harga serendah RM1 di sekitar Dataran Merdeka dan boleh dilekatkan pada bahagian anggota badan seperti muka dan tangan.

‘Malaysia… Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta’, menjadi tema Sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 negara pada tahun ini. — Bernama

Advertisement