Anda di sini

RM2 juta pasang lampu hiasan di Kuching: Abg Jo

Advertisement

Ia bagi pemasangan lampu hiasan di kawasan tumpuan pelancong di bandar raya ini

Oleh Hamimi Kassim //

KUCHING: Hampir RM2 juta diperlukan bagi pemasangan lampu hiasan di kawasan tumpuan pelancong di bandar raya ini, kata Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Menurutnya, selain kawasan Tebingan Kuching dan Main Bazaar yang telah siap dengan kos RM700,000, lampu hiasan dengan rekaan boleh ubah itu bakal dibina di kawasan Padang Merdeka, Jalan Satok dan Jalan Kulas.

“Pada masa akan datang, kita merancang untuk menambah lampu hiasan yang sama dari Padang Merdeka ke Jalan Satok dan Kulas dengan anggaran kos tambahan kira-kira RM800,000.

“Kita anggarkan kos hampir RM2 juta diperuntukkan kepada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) untuk pemasangan lampu hiasan di semua kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada pelancaran lapan jenis lampu hiasan Light Emitting Diode (LED) di Tebingan Kuching, malam kelmarin.

Tambahnya, lampu hiasan yang dipasang itu mencerminkan kepelbagaian dan keunikan etnik di samping menunjukkan kekayaan flora dan fauna di negeri ini.

Justeru, beliau berharap ia secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi momentum industri pelancongan di Sarawak serta meningkatkan Pelan Penambahbaikan Cantik, Bersih dan Selamat (CBS) DBKU.

“Kita menyeru kepada masyarakat agar dapat bersama kita membantu menjaga kemudahan ini untuk kebaikan bersama.

“Selain itu, laporkan kepada kita sekiranya terdapat perlakuan merosakkan harta benda awam bagi memastikan bandar raya Kuching kekal indah menjadi destinasi pelancongan pilihan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari menjelaskan, sebuah lagi tarikan pelancong yang bakal tiba di Kuching pada tahun depan ialah bas dua tingkat ‘Hop On Hop Off’ sebagai persediaan kepada siapnya pembinaan Jambatan Emas.

Turut hadir ialah Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur Datuk Daud Abdul Rahman, Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dan Ahli Dewan DBKU Datuk Wee Hong Seng.

Advertisement