Anda di sini

Rakyat harus bersikap terbuka terhadap projek kerajaan

Advertisement

SRI AMAN:  Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis meminta rakyat di bandar dan luar bandar di sini agar bersikap lebih terbuka ketika projek pembangunan dilaksanakan di kawasan mereka.

Katanya ini penting agar rakyat tidak mudah dimanipulasi pihak tertentu yang mahu menjadikan sesebuah projek pembangunan itu sebagai isu panas.

Menurut Harden, misalnya projek hospital baharu Sri Aman pernah dijadikan isu parti pembangkang demi kepentingan politik mereka tanpa memeriksa maklumat penuh tentang kerja dan proses perjalanan projek tersebut.

“Justeru, rakyat perlu bersikap terbuka dan tidak mudah terpengaruh taktik pembangkang, lantaran kita bimbang rakyat tidak mempercayai kerajaan,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Felix Simon, Jangkang, di sini.

Harden yang juga Menteri Muda Perumahan menggesa  rakyat  agar memeriksa terlebih dahulu isu yang ‘didendangkan’ pembangkang sebelum bertindak membuat keputusan mereka sendiri.

“Jangan bertindak terburu-buru dan percaya dakwaan pembangkang tanpa melihat dari segi positif kepada kerajaan.

“Jadi, saya mohon rakyat terus memberi kepercayaan kepada kerajaan BN bagi membangunkan taraf hidup mereka pada masa akan datang,” katanya.

Pada majlis itu Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, mengumumkan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Felix.

Turut hadir Penasihat Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP)  Simanggang Patrick Michael Malajin, para kaunselor dan ketua-ketua kaum.

Advertisement