Anda di sini

PKKS akan anjurkan Festival Kebudayaan Kenyah Sarawak

Advertisement

MIRI: Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak (PKKS) akan menganjurkan Festival Kebudayaan Kenyah Sarawak yang akan disertai peserta dari negara jiran, Indonesia.

Ketua Wanita PKKS Annia Selalang Lawai berkata, festival terbabit akan berlangsung pada Disember akan datang dengan menghimpunkan lapan cawangan PKKS di Sarawak.

“Ia adalah program untuk mempromosi serta mendedahkan kebudayaan dan kesenian masyarakat Kenyah dan paling menarik, pelbagai aktiviti turut dirancang untuk memeriahkan festival,” katanya di sini semalam.

Beliau memberitahu, melalui festival itu masyarakat awam dapat mengenali budaya dan kesenian masyarakat Kenyah secara lebih dekat.

“Program ini dapat mempromosikan Miri sebagai bandar raya pelancongan seterusnya mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat Kenyah dan orang ramai,” ujarnya.

Pada masa sama, melalui program itu generasi muda Kenyah dapat menerapkan nilai kecintaan terhadap kebudayaan dan kesenian yang diwarisi sejak beberapa generasi.

“Harapan kita ialah festival ini mencapai agendanya iaitu supaya generasi muda Kenyah tidak lupa asal usul mereka bahkan berusaha memartabat serta menjulang nama kaum mereka,” jelasnya.

Annia berkata meskipun sukar untuk menganjurkan festival sebesar itu namun dengan muafakat, kerjasama dan sokongan semua pihak ia tidak mustahil.

“Kita berterima kasih dengan wakil rakyat khasnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau kerana telah menyokong seterusnya menyumbang dana untuk kegiatan PKKS,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Program Paul Kallang berkata peserta dari negara jiran, Indonesia dijangka turut serta pada festival itu.

Menurut Paul, ia adalah landasan bagi masyarakat Kenyah mempromosikan kebudayaan dan kesenian mereka kepada pelancong luar.

Sementara itu, Dennis telah menyempurnakan perasmian Festival Kebudayaan Mini Kenyah Sarawak di Miri kelmarin.

Beliau turut mengumumkan geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM25,000 untuk kegunaan aktiviti PKKS.

Advertisement