Anda di sini

Pesta Pakan medan angkat imej Pakan: Mawan

Advertisement

Jawatankuasa penganjur, masyarakat wajar pelbagaikan idea untuk tarik pengunjung

Oleh Kepu Sidi //

PAKAN: Pesta Pakan satu medan terbaik mengangkat imej dan mempopularkan daerah ini sebagai destinasi yang memberi kenangan indah kepada setiap pengunjungnya.

Sejajar dengan matlamat ini, jawatankuasa penganjur bersama masyarakat setempat sewajarnya mempelbagai idea untuk menyerikan pesta ini agar menjadi sesuatu yang unik dan sentiasa dikunjungi masyarakat luar.

Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom berkata masyarakat harus merebut segala peluang melalui penganjuran pesta ini untuk menambah pendapatan melalui pelbagai cara seperti menyertai gerai perniagaan.

“Kita mahu masyarakat sedar bahawa setiap penganjuran yang berkonsepkan pesta seumpama ini, bukannya sebagai medan hiburan semata-mata tetapi harus dilihat daripada pelbagai sudut berbeza.

“Banyak peluang perniagaan terbuka melalui penganjuran pesta seperti ini. Maka kita wajar memanfaatkan peluang yang ada dengan sebaiknya.

“Gunakan segala kelebihan di kawasan ini untuk dijadikan asas merebut peluang tersebut seperti memasarkan hasil hutan, produk kraf dan lain-lain yang mampu menarik perhatian,” katanya pada Majlis Penangguhan Pesta Pakan di sini malam kelmarin.

Mawan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan berkata, sejak dianjurkan beberapa tahun lalu Pesta Pakan menunjukkan pencapaian memberangsangkan.

“Jumlah masyarakat hadir pada setiap pesta ini menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa dan ini memberi satu gambaran positif kepada penganjurannya

“Pengilbatan masyarakat dalam aktiviti yang dianjurkan turut menunjukkan perkembangan positif.

“Kita berharap pesta ini terus dianjurkan bagi memberi impak positif serta memenuhi sasaran, visi dan matlamat utama penganjurannya,” katanya.

Pada kemuncak pesta itu, diadakan Pertandingan Keling dan Kumang yang disertai lima peserta untuk Pertandingan Keling dan sembilan peserta untuk Pertandingan Kumang.

Bagi Pertandingan Keling, tempat pertama disandang Jackle Gawang, kedua Harry Kalang dan ketiga Alexson Amir Aden.

Pertandingan Kumang pula, johan Sharron Valiny, naib johan Diomera Darniati dan ketiga Subang Jamit.

Semua pemenang menerima hadiah berupa wang tunai, pingat dan piala.

Hadiah pemenang disampaikan oleh isteri Mawan Puan Sri Julia Mawan.

Turut hadir Residen Bahagian Sarikei Dahim Nadot dan Pegawai Daerah Pakan Alex Liau serta sekitar 1,000 orang pengunjung.

Advertisement