Anda di sini

Penubuhan Malaysia beri kebaikan kepada Sarawak

Advertisement

DISAMBUT: Taib dan Ragad disambut penuh istiadat sebaik tiba di Stadium Kapit, semalam.

Capai banyak kemajuan setelah merdeka melalui keputusan yang dibuat 50 tahun lalu, kata Adenan

Oleh Watt Zacchaeus //

KAPIT: Keputusan pemimpin terdahulu negeri ini bersetuju dengan Sabah, Malaya dan Singapura menubuhkan Malaysia telah mendatangkan banyak kebaikan kepada Sarawak.

Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata, negeri ini telah mencapai banyak kemajuan setelah merdeka melalui keputusan yang dibuat 50 tahun lalu.

“Pemimpin terdahulu antaranya Tun Jugah Barieng, Datuk Ling Beng Siong, Tun Abang Openg, Datu Bandar Abang Mustapha Abang Morshidi adalah antara peneroka terlibat dalam kemerdekaan negeri ini,” katanya berucap pada Perhimpunan Merdeka sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57 Peringkat Negeri Sarawak di Stadium Kapit, di sini semalam.

Hadir sama isterinya Puan Sri Datuk Jamilah Anu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan isteri Dato Sri Empiang Jabu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan isteri Datin Amar Fatimah Iskandar, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing dan isteri Puan Sri Corine Masing, Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan dan isteri Puan Sri Julia Mawan, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani serta menteri-menteri muda, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli-ahli Parlimen.

Sambutan itu dimeriahkan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib.

Tema sambutan kali ini ialah ‘Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta’ dan dihadiri kira-kira 5,000 penduduk setempat yang membanjiri Stadium Kapit.

Acara dimulakan dengan Senam Kenyalang disusuli upacara bertafakur seminit memperingati mangsa-mangsa tragedi pesawat MH17 sebelum memulakan majlis rasmi dengan menaikkan Jalur Gemilang, koir lagu patriotik, penyerahan skrol ikrar kepada Taib, penyampaian hadiah pemenang Larian Merdeka, persembahan padang dan diakhiri dengan lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku.

Adenan berkata sejak Sarawak menyertai Malaysia banyak kemajuan dicapai antaranya peningkatan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan pendapatan perkapita meningkat sebanyak 10 kali ganda.

“Kita (Sarawak) menyertai penubuhan Malaysia dengan syarat untuk menjaga hak dan keistimewaan etnik-etnik kaum di negeri ini,” jelasnya.

Sementara itu, beliau memberitahu, walaupun sudah mencapai kemerdekaan terdapat beberapa kawasan dan rakyat masih belum maju serta miskin.

“Kita akan berusaha mengatasi masalah itu dengan penuh keyakinan pada masa depan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Adenan mengulangi bahawa pemimpin terdahulu sebulat suara dengan persetujuan penubuhan Malaysia.

“Melalui Malaysia kita bebas daripada cengkaman penjajah dan sekarang bebas mentadbir sendiri negeri ini dan membangunkan potensi dalam negeri dengan sepenuhnya.

“Kemerdekaan ini memperlihatkan maruah kita dan dipandang baik oleh orang luar,” katanya.

Advertisement