Anda di sini

Pelajar terpilih kokurikulum mempunyai tanggungjawab besar

Advertisement

BINTULU: Pelajar yang terpilih mewakili Sarawak dalam bidang kokurikulum digesa memikul tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaiknya dalam usaha menjulang pendidikan negeri ini ke tahap lebih tinggi.

Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak Serina Sauni berkata semua pelajar terpilih mempunyai tanggungjawab besar ke arah itu.

Katanya mereka perlu membawa semangat dan kekuatan diri untuk mencapai tahap kemenangan bukan sahaja dalam bidang kurikulum bahkan kokurikulum.

Beliau merujuk kejayaan atlet taekwondo daripada Kolej Vokasional Bintulu, Marlyne Bungan Lian yang menyertai pasukan taekwondo dari Bintulu mewakili Sarawak dan negara apabila memperolehi tiga pingat emas dalam acara taekwondo Poomsae pada Kejohanan Taekwondo Terbuka Antarabangsa di Perth, Australia Jun lalu.

Kejohanan itu disertai enam negara iaitu Vietnam, Indonesia, India, Malaysia, Australia dan Korea Selatan.

Katanya penyertaan pelajar dalam bidang kokurikulum dan sukan tidak hanya mampu menyihatkan badan bahkan membawa kepada kecergasan otak mereka menghadapi proses pembelajaran.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penangguhan Karnival Asrama Vokasional dan Teknik (KAVOT) Zon Sarawak sejak 29 September lalu di Dewan Bunga Raya Kolej Vokasional (KV) Bintulu semalam.

Dalam pada itu, Serina mencadangkan agar karnival untuk peringkat kebangsaan dapat diadakan di Sarawak pada masa akan datang.

“Apabila Sarawak menjadi tuan rumah, peserta dari Semenanjung Malaysia dan Sabah dapat datang berkampung di negeri ini,” katanya.

Menurutnya, karnival itu penting dalam usaha memantapkan perpaduan tanpa mengira jurang kaum selaras dengan Pelan Pendidikan Malaysia.

Sementara itu, Pengarah KV Bintulu Juita Senawi berkata seramai 430 peserta menyertai karnival itu terdiri daripada KV Betong, KV Bintulu, KV Kuching, KV Matang, KV Sibu, KV Miri, Sekolah Menengah Teknik (SMT) Sejingkat dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Samarahan.

“Karnival kali pertama diadakan secara berpusat di Bintulu bertujuan memilih pelajar terbaik ke karnival peringkat kebangsaan di Johor pada 15 hingga 18 Oktober depan,” katanya.

Beliau berharap pelajar terpilih akan membawa kejayaan untuk Sarawak dan mampu menjulang kecemerlangan pelajar negeri ini.

Karnival itu menyaksikan KV Matang muncul juara keseluruhan diikuti tempat kedua hingga kelapan disandang oleh KV Bintulu, KV Betong, KV Miri, SMT Sejingkat, KV Sibu, ILP Kota Samarahan dan KV Kuching.

Selain itu, KAVOT akan diadakan di KV Miri tahun depan. Turut diadakan sempena karnival itu adalah sambutan Malam Ambang Merdeka, malam kelmarin di KV Bintulu.

Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu Abdul Mu’in Abdul Kassim, Pengarah dan Pengetua Kolej-Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik Zon Sarawak Ng Fook Yin dan Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Murid Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional Saruchi Sawal.

Advertisement