Anda di sini

Kenyah perlu bangga budaya sendiri

Advertisement

MIRI: Masyarakat Kenyah di seluruh negeri perlu bangga dengan budaya dan tradisi mereka dan pada masa yang sama terus memainkan peranan untuk memelihara dan mempromosi identiti mereka kepada bangsa lain.

Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau berkata Kenyah sebagai kaum minoriti di negara ini bukan hanya perlu berbangga dengan budaya dan tradisi malah mereka mesti melindunginya daripada dilupakan khususnya di kalangan generasi muda.

“Dahulu kita dikenali sebagai Orang Ulu sahaja, namun hari ini orang tahu kita adalah orang Kenyah.

“Budaya dan tradisi membezakan kita dengan komuniti lain di negara ini,” katanya pada penutupan Festival Kebudayaan Kenyah Sarawak Wilayah Utara di sini semalam.

Anyi menambah, menjadi tanggungjawab semua masyarakat Kenyah terutama ketua kaum dan ibu bapa mengamal dan memelihara budaya serta tradisi mereka agar tidak pupus ditelan zaman.

Tegas beliau, Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak (PKKS) turut memainkan peranan penting dalam mempromosi budaya dan tradisi bukan hanya kalangan masyarakat Kenyah malah di seluruh negara.

“Generasi muda perlu dilatih menari tarian dan nyanyian tradisional Kenyah agar mereka tidak lupa akan asal usul dan budaya mereka,” katanya.

Beliau turut menasihati ibu bapa agar terus memberi keutamaan terhadap pendidikan anak-anak agar masa depan mereka lebih terjamin serta mampu bersaing dengan kaum lain.

Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Robert Laing, pengerusi penganjur Annia Selalang Lawai dan Naib Presiden PKKS Anthony Kule.

Advertisement